KUANTAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam penipuan pakej umrah dan haji.
Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata, semua jemaah yang menjadi mangsa penipuan diminta segera membuat aduan rasmi kepada KPDN melalui saluran disediakan seperti portal e-duan KPDN, pusat pengadilan, aplikasi telefon pintar Ez Adu-KPDN dan aplikasi WhatsApp.
"Sebanyak 183 kertas siasatan telah dibuka di bawah kesalahan Seksyen 117 Akta Perlindungan Pengguna 1999 berkaitan ketidakpatuhan award yang telah dikeluarkan oleh Tribunal Tuntutan Pengguna (TTPM) kepada pihak penentang dan 59 kertas siasatan telah berjaya diselesaikan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Fuziah menjelaskan setiap aduan diterima disiasat dengan teliti selain kerjasama dengan pihak berkuasa lain bagi memastikan mereka yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.
Tambahnya, jemaah haji atau umrah yang terlibat dalam penipuan ini juga boleh membuat tuntutan tebus rugi di TTPM.
"Secara keseluruhan, sebanyak 562 kes tuntutan tebus rugi berkaitan penipuan pakej umrah telah difailkan di TTPM seluruh Malaysia dari 1 Januari 2024 hingga 31 Julai 2024 dengan 413 kes tuntutan telah selesai," katanya.
Dalam pada itu, Fuziah memberitahu di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 [Akta 599], jumlah maksimum tuntutan tebus rugi adalah RM50,000.00.
"Sekiranya jumlah yang hendak dituntut melebihi RM50,000, ia masih boleh difailkan di TTPM, namun nilaian tuntutan ialah untuk nilai maksimum RM50,000 dan baki tuntutan selebihnya tidak boleh dituntut melainkan dipersetujui oleh Penentang.
"Bagaimanapun, ia sedikit sebanyak dapat mengembalikan sejumlah kerugian yang dihadapi para jemaah," katanya.
Justeru, KPDN menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan melakukan semakan dengan teliti sebelum membuat sebarang pembayaran kepada ejen-ejen umrah dan haji.
Pastikan ejen yang dipilih berdaftar dengan Tabung Haji dan Kementerian Pelancongan (MOTAC) selain mempunyai rekod yang baik.