Usahakan jalin hubungan baik dengan jiran

Iklan
USAHAKAN menjalin hubungan baik dengan jiran kerana Islam mengajar umatnya berbuat demikian memandangkan melayani tetangga dengan baik merupakan sebahagian daripada keimanan seseorang kepada ALLAH SWT dan hari kiamat. -Foto: 123rf

DUDUK di dalam bangunan kediaman atau satu lorong yang sama, tetapi tidak kenal jiran sebelah rumah hinggakan jika berlaga bahu pun, langsung tidak bertegur sapa atau sekadar mengungkap kata maaf.

Demikianlah realiti kehidupan masyarakat pada hari ini lebih-lebih lagi jika mendiami rumah berstrata seperti kondominium mahupun pangsapuri.

Iklan
Iklan

Maklum sahajalah, hidup kini ‘keras’. Seawal pagi sebelum matahari naik lagi sudah keluar rumah demi mencari rezeki dan hanya akan kembali lewat malam. Begitulah rutin sama diulangi saban hari.

Apabila hari cuti pula, jika tidak terperuk di dalam rumah, ada sahaja aktiviti lain dilakukan hinggakan sukar kelibat diri dilihat oleh tetangga.

Iklan

Meskipun demikian, pendakwah Ustaz Mohamad Wadi Annuar Ayub atau lebih dikenali sebagai Ustaz Wadi Annuar mengingatkan agar kita memuliakan jiran dan usahakan untuk menjalin hubungan baik dengan mereka.

USTAZ WADI ANNUAR

Iklan

Ia sebagaimana disebut dalam riwayat Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:"Barang siapa yang beriman kepada ALLAH dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan jirannya.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

"Salah satu cara untuk membina hubungan dengan rapat adalah dengan memasak lebih banyak makanan di rumah dan berkongsi sedikit dengan mereka,” katanya dipetik menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya pada Isnin.

Anjuran itu dinyatakan secara jelas dalam hadis diriwayatkan oleh Abu Zar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Wahai Abu Zar, apabila kamu memasak makanan berkuah, maka perbanyaklah airnya dan berikanlah sebahagiannya kepada jiranmu." (Hadis Riwayat Muslim)

Melihat ungkapan itu, ujar Ustaz Wadi Annuar, jelaslah bahawa kita dianjurkan supaya mengambil peduli tentang jiran terutamanya ketika memiliki makanan atau rezeki lebih.

ANTARA cara untuk membina hubungan dengan rapat adalah dengan memasak lebih banyak makanan di rumah dan berkongsi sedikit dengan mereka. -Foto: 123rf

"Ketahuilah bahawa anjuran memberi makanan juga disebutkan dalam hadis lain yang mana Nabi Muhammad SAW bersabda supaya kita memberi makan kepada orang yang lapar.

"Inilah betapa rahmatnya agama Islam yang menekankan hubungan baik antara satu sama lain terutamanya dengan kaum kerabat, jiran tetangga dan sahabat handai termasuk orang bukan Islam,” katanya.

Meskipun usaha memberi makan itu dilihat begitu kecil pada mata kasar, namun penceramah terkemuka tersebut menjelaskan, ia merupakan satu amalan terbaik.

Dalam satu riwayat, Rasulullah SAW pernah ditanyakan oleh seorang lelaki:"Perbuatan apa yang terbaik dalam Islam?”

Baginda SAW menjawab: "Kamu memberi makanan kepada orang lain.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

"Ingatlah, Islam sangat mementingkan untuk kita menjaga hubungan baik dengan jiran.

Dosa tak buat baik pada tetangga

Bagaimana pula jika kita mengabaikan jiran tetangga?

Dalam satu temu bual Sinar Islam Plus bersama pendakwah Ustaz Ahmad Fuad Mohamad Mokhtar atau lebih dikenali sebagai Da’i Fuad sebelum ini, beliau menjelaskan, mengabaikan dan tidak menjalinkan silaturahim antara tetangga itu telah melanggar perintah ALLAH SWT dalam ayat ke-36 surah an-Nisa’.

DA'I FUAD

Jelas beliau, ia merupakan antara satu dosa yang sering dilakukan dalam komuniti pada hari ini apabila tidak melaksanakan kebaikan dan perintah berbuat baik terhadap jiran.

"Bagaimana kita hendak lakukan kebaikan jika kita tidak mengenali mereka? Bukan itu sahaja, dalam hadis sahih riwayat Imam Al-Bukhari, dinyatakan sesiapa yang ingin diperluaskan rezeki dan dipanjangkan umurnya, hendaklah dia menghubungkan silaturahim.

"Oleh itu, siapa pun jiran kita tanpa mengira agama dan bangsa, tetaplah laksanakan perintah untuk menyempurnakan hak jiran tetangga tersebut,” ungkapnya.

Merujuk kepada kitab Ihya ‘Ulumuddin, Imam Al-Ghazali menyebut beberapa hak dan tanggungjawab perlu dilaksanakan apabila hidup berjiran iaitu:

1. Memulakan memberi salam kepada jiran.

2. Menziarahi jiran ketika sakit dan mengucapkan takziah apabila berlaku kematian.

3. Usah terlalu bertanyakan tentang hal-hal peribadi jiran.

DALAM Islam, hak tetangga itu telah nyata terdapat dalam al-Quran dengan perintah untuk melakukan kebaikan terhadap mereka. -Foto: Canva

4. Memaafkan segala kesalahan dan kesilapan jiran.

5. Menutup keaiban yang berlaku kepada jiran.

6. Sentiasa bersikap lemah-lembut terhadap anak-anak jiran.

7. Sentiasa membantu jiran apabila ditimpa musibah.

8. Tidak menyakiti dan menyusahkan jiran sama ada dari segi perkataan, perbuatan mahupun tingkah laku.

9. Jangan terpengaruh dengan kata-kata orang yang cuba memburuk-burukkan jiran.

ISLAM begitu menekankan hubungan baik antara satu sama lain terutamanya dengan kaum kerabat, jiran tetangga dan sahabat handai termasuk orang bukan Islam. -Foto: 123rf

10. Usah menyempitkan perjalanan menuju ke rumah jiran.