Terengganu sedia insentif kepada pemenang Sukma

Iklan
Ahmad Samsuri (tengah) ketika ditemui pemberita selepas Program Pembersihan Pantai Batu Buruk

INSENTIF kemenangan tetap diberikan kepada pemenang pingat termasuk atlet terjun wanita yang dihantar tanpa melalui kerajaan negeri pada kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) 2024 di Sarawak baru-baru ini.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya akan menunggu laporan penuh sebelum membuat keputusan mengenai jumlah insentif yang bakal diberikan kepada kesemua pemenang berkenaan.

Iklan
Iklan

"Mengenai insentif ini (pemenang Sukma) kita belum buat keputusan lagi. Saya masih menunggu laporan penuh dari segi pencapaian kita (skuad Sukma Terengganu).

"Inisiatif ini tetap ada... Insya-ALLAH, tetapi saya akan tunggu laporan penuh sebelum buat keputusan.

Iklan

"Ini juga termasuk apa yang diperoleh oleh pihak yang menghantar tanpa melalui kerajaan negeri (atlet terjun wanita) dan kita akan buat keputusan kemudian," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Pembersihan Pantai Batu Buruk di Dataran Batu Buruk di sini pada Selasa.

Iklan

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata, perkara penting adalah melaksanakan pelan strategi lebih baik untuk memperbaiki kedudukan Terengganu dari segi pencapaian pingat pada Sukma akan datang.

"Sebab paling penting adalah bagaimana kita ingin laksanakan pelan strategi lebih kemas supaya dalam tempoh dua tahun lagi kita akan perbaiki keadaan dan tambah baik kedudukan kita.

"Jadi sudah tentulah sasaran kita pada masa hadapan untuk menjadi juara. Kita akan fokus ke arah itu," ujarnya.

Sebelum ini, portal media tempatan melaporkan Terengganu menghantar dua atlet wanita bagi acara terjun iaitu Uzlifatil Jannah Ashraf dan Ilyssa Ixora Imran.

Uzlifatil Jannah dan Ilyssa Ixora berjaya meraih pingat gangsa bagi kategori 10 meter platform seirama wanita sleain Uzlifatil Jannah juga memenangi pingat gangsa bagi kategori 1 meter papan anjal.

Susulan itu, Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Hishamuddin Karim berkata, penyertaan atlet terjun wanita beragama Islam pada Sukma Sarawak 2024 itu dihantar oleh Persatuan Renang Amatur Terengganu (PRAT) tanpa pengetahuan dan kebenaran daripada kerajaan negeri.

Hishamuddin Karim berkata, Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) mengesahkan penyertaan atlet terjun wanita Muslim itu telah dihantar oleh persatuan berkenaan di bawah perbelanjaan sendiri dengan memohon kuota Terengganu.

Justeru, PRAT memohon maaf berhubung kesilapan menghantar atlet terjun wanita beragama Islam pada Sukma Sarawak 2024 selain bertanggungjawab penuh terhadap isu yang menimbulkan rasa kurang senang dalam masyarakat di negara ini.

Pada Sukma 2024, Terengganu melengkapkan kedudukan lima teratas dengan meraih 41 emas, 36 perak dan 47 gangsa.