KUALA LUMPUR - Pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa kejadian tanah jerlus di Masjid India, meneruskan pencarian ke lokasi titik terakhir (end point) loji Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) di Pantai Dalam, di sini, pada Selasa.
Agensi keselamatan yang terbabit dalam pasukan SAR ini adalah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Indah Water Konsortium (IWK) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Jabatan Perancangan Korporat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi satu kenyataan pada Isnin, memaklumkan, pemeriksaan itu dilaksanakan ke setiap ruang yang ada kemungkinan mangsa terperangkap.
"Pasukan SAR telah melaksanakan kerja jetting dan pemeriksaan saluran paip kumbahan dan lurang kumbahan pada jam 6.30 pagi tadi," katanya.
Menurutnya, kerja 'jetting' bagi memecahkan debris berjaya bagi mengeluarkan sebarang halangan.
"Pemeriksaan menggunakan 'push rod' dan 'crawler camera' di lurang kumbahan satu di hadapan Wisma Yakin bagi mengesan kebarangkalian lokasi mangsa adalah negatif," katanya
Pada Selasa, Agensi Nuklear Malaysia dan pasukan teknikal Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dilihat berada di lokasi insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India.
Pasukan berkenaan membawa alat pengesan radar dipercayai bagi mengesan sebarang pergerakan di bawah tanah.
Alat sama pernah digunakan dalam insiden tanah runtuh di Batang Kali pada 2022.
Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan kejadian seorang wanita warga India berusia 48 tahun dikenali Vijayaletchumy dilaporkan hilang selepas menjadi mangsa tanah jerlus sedalam kira-kira lapan meter di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.
Laporan kejadian itu diterima JBPM Kuala Lumpur pada jam 8.22 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Titiwangsa dan BBP Hang Tuah dikejarkan ke lokasi kejadian.