Hubungan Pas, Bersatu masih baik - Razali

Iklan
Razali ketika ditemui pemberita selepas Program Pembersihan Pantai Batu Buruk.

KUALA TERENGGANU - 'Tiada sebarang masalah dan tidak timbul keretakan hubungan antara Pas dan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu),' kata Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris.

Razali menafikan dakwaan bahawa hubungan antara kedua parti itu terjejas sejak siasatan polis terhadap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dikatakan menyentuh kewibawaan Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Iklan
Iklan

"Dari segi hubungan Bersatu dan Pas, tiada masalah. Malah antara peguam yang mewakili Muhyiddin pada pertuduhan hari ini ialah Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

"Selain itu, saya juga berhubung (baik) dengan Pas. Jadi tak ada masalah (antara kedua parti)," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Pembersihan Pantai Batu Buruk di Dataran Batu Buruk di sini pada Selasa.

Pada Selasa, Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Gua Musang atas pertuduhan berhubung isu berkaitan kaum, agama dan raja (3R) ketika menyampaikan ceramah dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di sini baru-baru ini.

Iklan

Media sebelum ini melaporkan polis menyiasat laporan dibuat terhadap Muhyiddin mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, serta Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

Ditanya mengenai tiada kenyataan dikeluarkan daripada pemimpin-pemimpin Pas yang memberi sokongan kepada Muhyiddin berhubung isu tersebut, Razali menjelaskan ini kerana isu berkenaan melibatkan Akta Hasutan 1948.

"Apabila ada kaitan dengan Akta Hasutan ini maka tak semua yang berminat nak buat ulasan.

"Sebab kerajaan sekarang ini gunakan Akta Hasutan itu secara serius sekali gus menyebankan ulasan-ulasan berkaitan 3R tersebut mungkin ramai tak berani ulas," ujarnya.

Sementara itu, Razali mendakwa terdapat usaha daripada pihak lawan yang berusaha menarik sokongan Bersatu dan Pas untuk keluar daripada gabungan Perikatan Nasional (PN).

"Memang ada usaha memancing Pas dan ada sebahagian daripada Bersatu untuk keluar (PN).

"Itu propaganda politik dan sekarang kami bersiap sedia hadapi pilihan raya akan datang selain yakin dengan pengukuhan parti dari segi kepimpinan atas," jelasnya.