YRMS bantu belia terpinggir akademik ceburi TVET

Iklan
Tengku Amir Shah berkenan melawat bengkel eksplorasi diri pada Majlis Perasmian Hari Terbuka TVET YRMS di PSIS pada Selasa.

SABAK BERNAM - Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) memberi peluang kepada belia terpinggir dan kurang kecenderungan akademik menceburi Pendidikan, Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Pengerusi Ahli Lembaga Pemegang Amanah YRMS, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata, yayasan yang dicetuskan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada tahun 2003 itu berusaha mencungkil bakat belia dalam bidang kemahiran.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, sehingga kini, YRMS telah menyediakan latihan berasaskan kemahiran kepada kira-kira 3,800 belia dari seluruh negara tanpa mengira jantina, bangsa dan agama.

Raja Arshad (dua dari kiri) mengiringi Tengku Amir Shah (dua dari kanan) menyampaikan anugerah YRMS kepada salah seorang penerima pada Selasa.

"YRMS menyokong anak muda berusia antara 16 hingga 30 tahun dengan membantu mereka membina keyakinan diri dan motivasi serta memperkembangkan kemahiran dan bakat bagi membolehkan mereka mendapatkan pekerjaan," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Hari Terbuka TVET YRMS di Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS) pada Selasa.

Raja Arshad memberitahu, YRMS membantu beliau melalui tiga program iaitu bengkel eksplorasi diri, latihan berasaskan kemahiran dan bakat untuk dunia.

Iklan

Jelas beliau, sebagai sebuah badan bukan kerajaan, kerjasama dengan pelbagai agensi dan institusi amat penting

Katanya, penglibatan dan sumbangan pihak industri dalam ekosistem TVET secara tidak langsung berupaya menarik minat anak muda.

Beliau memberitahu, Hari Terbuka TVET merupakan platform semua pihak mengenali lebih dekat institusi berkenaan.

Tengku Amir Shah diberi penerangan dan taklimat semasa lawatan baginda ke Perpustakaan Tan Sri Rozali Ismail, PSIS.

"Sejak tahun 2022, program ini dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti dengan penganjuran pertama di Kolej Komuniti Selayang manakala Kolej Komuniti Kuala Langat pada tahun lalu," ujar beliau.

Terdahulu, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat menghadiri program berkenaan.

Baginda meluangkan masa kira-kira sejam melawat lokasi kelas dan bengkel selain menyaksikan pertandingan TVET serta reruai seterusnya penyampaian anugerah YRMS di Dewan Sri Lang.

Turut berlangsung pertukaran Sijil Kolaboratif (CoC) antara YRMS bersama enam institusi kemahiran terkemuka di negeri Selangor yang Disaksikan Tengku Amir Shah.

Selain itu, baginda turut menyaksikan gimik penyerahan sijil Malaysia Book of Record antara 99 Vision Sdn Bhd, YRMS dan Selangor Youth Community (SAY) yang diiktiraf sebagai sumbangan cermin mata percuma paling banyak di Malaysia.

Seramai 5,700 penerima merangkumi B40 warga emas dan orang kurang upaya (OKU) menerima bantuan cermin mata percuma dan lebih RM1 juta tajaan diperuntukkan bagi inisiatif berkenaan.