Asia Tenggara berdepan kekurangan guru yang ketara - SEAMEO

Iklan
Rantau Asia Tenggara kini berdepan dengan kekurangan guru yang ketara. Gambar hiasan

BURIRAM (Thailand) - Rantau Asia Tenggara kini berdepan dengan kekurangan guru yang ketara dan boleh menghalang pembangunan generasi celik digital, menurut Pengarah Sekretariat Pertubuhan Menteri-Menteri Pendidikan Asia Tenggara (SEAMEO), Datuk Dr Habibah Abdul Rahim.

"Terdapat unjuran bahawa lebih empat juta guru baharu diperlukan menjelang 2030 disebabkan faktor seperti persaraan dan jawatan mengajar yang baharu,” kata Habibah kepada Bernama di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Pendidikan ASEAN ke-13 di sini.

Iklan
Iklan

Laporan global UNESCO menganggarkan bahawa pada masa ini terdapat kira-kira 3.6 juta guru di sekolah rendah dan 8.5 juta di sekolah menengah di seluruh Asia Tenggara.

Bagaimanapun, Habibah turut melahirkan kebimbangan mengenai kekurangan guru yang berkelayakan di rantau ini.

Iklan

"Tidak semua guru di Asia Tenggara mempunyai tahap kelayakan atau persediaan yang diperlukan untuk mengajar dengan berkesan di dalam bilik darjah.

"Walaupun negara seperti Filipina, Vietnam dan Malaysia mempunyai sebilangan besar guru yang mempunyai ijazah sarjana muda atau lebih tinggi, masih terdapat beberapa negara di mana sebilangan besar guru tidak memenuhi kelayakan yang diperlukan,” katanya.

Iklan

Kebimbangan Habibah disokong oleh dapatan"Southeast Asia Primary Learning Metrics (SEA-PLM)" sebuah program penilaian serantau yang menilai hasil pembelajaran dalam pendidikan asas.

Data SEA-PLM mencadangkan bahawa guru-guru tertentu di rantau itu masih kekurangan kecekapan yang diperlukan untuk mengajar subjek seperti membaca, menulis, dan matematik dengan berkesan.

Untuk menangani cabaran itu, Habibah menekankan perlunya negara Asia Tenggara untuk mempergiatkan usaha mereka untuk menarik, melatih, dan mengekalkan guru yang berkelayakan.

"Melahirkan generasi celik digital memerlukan pelaburan dalam pembangunan profesional dan sokongan kepada guru-guru kita.

Ini adalah langkah penting dalam memastikan semua pelajar di rantau ini mempunyai akses kepada pendidikan berkualiti dan kemahiran yang diperlukan untuk berjaya dalam era digital,” katanya. - Bernama