LTdL 2024: Harap pelumba negara mampu lakar kejutan

Iklan
Abdul Rashid (tengah) bersama Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Tourism Malaysia, Saidi Bundan menunjukkan jersi Polkadot Raja Bukit tajaan Tourism Malaysia pada majlis pengumuman kerjasama strategik Tourism Malaysia dan Petronas Le Tour De Langkawi 2024 di Casa 4, MSN pada Isnin.

PELUMBA Malaysia yang bakal berentap dalam Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 diharap mampu melakar kejutan pada perlumbaan yang dijadual membuka tirai pada 29 September ini.

Harapan itu diluahkan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Abdul Rashid Yaakub yang optimis dengan kemampuan pelumba tempatan untuk memberi saingan sengit.

Iklan
Iklan

Beliau juga sedar perlumbaan berprestij itu bakal menyajikan cabaran besar, namun setiap pelumba mempunyai kekuatan tersendiri.

"Mungkin (boleh mencipta kejutan gelaran), tetapi kita kena ingat pasukan di luar sana pun sangat kuat. Kalau kita menang, baguslah.

Iklan

"Itu menunjukkan peningkatan kepada pelumba-pelumba kita, tetapi pasukan yang kita jemput memang berada pada tahap tertinggi, yang bertanding di Tour de France, Giro d'Italia dan sebagainya," katanya.

Abdul Rashid juga berharap pasukan Malaysia dapat melakukan persediaan terbaik kerana tahap perlumbaan tersebut sangat hebat.

Iklan

"Jadi, persediaan pasukan kita perlu pada tahap tertinggi. Kita harap ada lagi satu pelumba yang dapat (kejayaan).

"Bukan setakat dapat menang jersi polka dot (Raja Bukit), tetapi kalau boleh keseluruhan... namun ia mungkin sangat sukar," katanya.

Sebagai rekod, pelumba Malaysia, Muhammad Nur Aiman Zariff melakar sejarah tersendiri apabila meraih gelaran Raja Bukit pada 2020 dan 2022.

Negara turut meraih gelaran Raja Pecut menerusi Anuar Manan pada 2010 dan gelaran pelumba terbaik Asia menerusi Adiq Husainie Othman pada 2016.

Bagaimanapun, edisi tahun lepas menyaksikan Nur Aiman tidak berjaya mempertahankan gelaran Raja Bukit selepas disambar pelumba Tudor Pro Cycling Team dari Switzerland, Simon Pellaud.

LTdL 2024 bakal menyaksikan sebanyak 22 pasukan yang merangkumi tiga pasukan berstatus WorldTeam iaitu Astana Qazaqstan, EF Education-Easypost dan Team DSM Firmenich Postnl mengambil bahagian.

Perlumbaan sejauh 1,190 kilometer akan bermula di Langkawi untuk peringkat pertama, diikuti peringkat kedua dari Arau ke Butterworth dan Taiping ke Cameron Highlands (peringkat 3).

Peringkat 4 pula melibatkan Kuala Kubu Bharu ke Bentong, Kuala Lumpur ke Melaka (peringkat 5), Batu Pahat ke Kulai (peringkat 6), Miri ke Bintulu (peringkat 7) dan Bintulu (peringkat 8).