BUTTERWORTH - Sepuluh buah kontena yang membawa dagangan kayu dari Latvia diarah berpatah balik ke negara asal selepas penguat kuasa Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang menemui kulat pada kayu-kayu berkenaan.
Maqis Pulau Pinang dalam kenyataannya berkata, kesemua dagangan kayu seberat 251 tan metrik bernilai RM203,726 itu diperiksa di Pelabuhan Pangkalan Kontena Butterworth (NBCT) pada Selasa.
"Dagangan kayu itu ditahan dan tidak dibenarkan masuk ke negara ini selepas pemeriksaan rutin yang dilakukan menemui kulat jenis Trichoderma SP.
"Kulat itu ditemui pada kayu jenis White Birch Logs (Betula Pendula) di dalam 10 buah kontena," katanya pada Selasa.
Tambah Maqis Pulau Pinang, kawalan ke atas perosak dan penyakit seperti kulat kayu adalah penting bagi memastikan industri pertanian negara terpelihara terutamanya melibatkan tanaman ladang dan sebagainya.
"Perbuatan mengimport apa-apa jenis keluaran pertanian, tumbuhan, binatang, karkas, ikan, tanih dan mikroorganisma yang mempunyai perosak adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 14 Akta Perkhidmatan dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].
"Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.