Pendakwaan mohon Tun Daim jalani penilaian kesihatan mental

Iklan
Tun Daim

KUALA LUMPUR - Pihak pendakwaan dalam kes Tun Daim Zainuddin yang didakwa atas pertuduhan gagal mengisytiharkan hartanya, memohon di Mahkamah Sesyen hari ini agar bekas Menteri Kewangan itu menjalani pemeriksaan mental bagi memastikan beliau layak dibicarakan atau sebaliknya.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, memandangkan pihak pembelaan sering memohon kehadiran bekas menteri itu dikecualikan pada prosiding mahkamah, pihaknya ingin membangkitkan isu undang-undang mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah, yang kesihatan mental terkini tertuduh perlu diperiksa untuk memastikan sama ada beliau boleh memberikan arahan dan memahami pertuduhan dihadapinya.

Iklan
Iklan

"Berdasarkan satu laporan perubatan dari Hospital Assunta yang dikemukakan kepada mahkamah hari ini, ia ada menyentuh tentang keadaan Tun Daim yang mengalami strok berganda yang menyebabkan pendarahan otak sejak Januari 2024.

"Oleh itu, pihak pendakwaan meragui sama ada Tun Daim layak dibicarakan berikutan pendarahan otak yang dialaminya dan sama ada beliau mampu menerima dan memberikan arahan kepada pasukan pembelaannya apabila perbicaraan dimulakan kelak,” kata Wan Shaharuddin semasa sebutan kes di hadapan Hakim Azura Alwi hari ini.

Iklan

Wan Shaharuddin berkata, mahkamah mempunyai bukti yang cukup untuk mengarahkan Tun Daim dihantar menjalani pemeriksaan mental hospital kerajaan yang diwartakan iaitu Hospital Kuala Lumpur.

"Kami juga sangsi sama ada fakta yang telah diikrarkan Tun Daim dalam afidavit-afidavitnya sebelum ini adalah benar atau sebaliknya.

Iklan

"Kami menyerahkan kepada budi bicara mahkamah untuk memberikan arahan tentang pemeriksaan mental beliau,” katanya.

Peguam Nizamuddin Abdul Hamid yang mewakili Tun Daim membantah permohonan pendakwaan atas alasan anak guamnya hanya mengalami kelemahan fizikal dan bukannya masalah berkaitan mental.

"Apabila pendakwaan membuat keputusan untuk mendakwa seseorang yang berusia 86 tahun, ia pasti akan datang dengan hakikat semula jadi seperti masalah kesihatan.

"Sekiranya mahkamah rujuk laporan perubatan tersebut juga menyatakan masalah yang dihadapi adalah berkaitan fizikal dan bukannya mental.

"Kami (pembelaan) baru sahaja berjumpa dengan beliau dan keadaan mentalnya masih baik, oleh itu kami membantah permohonan pendakwaan untuk pemeriksaan kesihatan mental,” kata Nizamuddin.

Hakim Azura kemudian menetapkan 17 Oktober ini untuk memutuskan sama ada Tun Daim perlu menjalani pemeriksaan tersebut atau sebaliknya.

Mahkamah turut menetapkan tarikh sama (17 Oktober) bagi pendengaran permohonan Tun Daim dan isterinya Toh Puan Na'imah Khalid, untuk merujuk persoalan perlembagaan berkaitan pertuduhan yang dihadapi mereka ke Mahkamah Tinggi.

Sementara itu, Hakim Azura turut menolak permohonan Tun Daim untuk memindahkan kesnya untuk didengar oleh hakim Mahkamah Sesyen lain.

Beliau berkata, Tun Daim gagal melepasi ujian kemungkinan wujudnya sikap berat sebelah dan tiada asas untuk menunjukkan penghakiman akan dikaburkan, walaupun Na'imah dituduh di mahkamah sama.

"Mahkamah ini mampu dan berkeupayaan untuk menimbang segala keterangan, mahupun permohonan interlokutari yang dikemukakan secara profesional sebagai seorang pegawai kehakiman yang terlatih dan berpengalaman dalam menentukan isu kebolehterimaan, kredibiliti dan pemberatan setiap keterangan yang dikemukakan kelak,” kata Azura.

Daim pada 7 Mei, memfailkan permohonan untuk memindahkan kes atas alasan antaranya terdapat kemungkinan berlaku ketidakadilan dan prejudis terhadapnya, kerana kes isterinya juga didengar di hadapan hakim sama.

Pada 29 Januari, Tun Daim atau nama sebenarnya Che Abdul Daim Zainuddin, 86, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk beberapa kenderaan mewah, syarikat dan hartanah di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah.

Na'imah, 67, pula didakwa pada 23 Januari atas satu pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk Menara Ilham dan beberapa hartanah di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda maksimum RM100,000, jika sabit kesalahan. - Bernama