Hamzah dakwa Akta Hasutan jadi alat pendakwaan politik ke atas PN

Iklan
Hamzah

SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Perikatan Nasional (PN) akan berdiri teguh bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam menentang segala kezaliman.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, tindakan PH-BN yang cuba memperalatkan Akta Hasutan 1948 untuk menutup mulut pemimpin PN daripada bercakap benar tidak akan berjaya.

Iklan
Iklan

Ini kerana katanya, apa yang diucapkan Muhyiddin dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri adalah fakta.

"Kerajaan PH-BN nampaknya tidak senang apabila rakyat Malaysia mengetahui hakikat apa telah berlaku yang sebenarnya.

Iklan

"Akta Hasutan yang mereka mahu hapuskan sebelum ini kini dijadikan alat bagi menjayakan pendakwaan politik ke atas pemimpin PN," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Hamzah turut memaklumkan, mahkamah pada Selasa telah menolak permohonan perintah larangan untuk bercakap (gag order) dan juga menolak permohonan ikat jamin sebanyak RM20,000 oleh pendakwaraya terhadap Muhyiddin.

Iklan

"Tahniah kepada barisan peguambela yang diketuai Amer Hamzah Arshad, Chetan Jethwani, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Mohd Nasir Abdullah dan Mariana Mat Kudin kerana telah melaksanakan tugas dengan cekap dan baik sekali.

"Sesungguhnya Bersatu dan PN berdiri teguh bersama Muhyiddin dalam menentang segala kezaliman. Kami bertekad untuk menegakkan idealisme perjuangan demi masa depan Malaysia yang lebih baik dan adil," katanya.

Pada pagi Selasa, Muhyiddin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Gua Musang atas tuduhan mengeluarkan perkataan menghasut semasa kempen PRK Nenggiri.

Muhyiddin, 77, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri.

Mengikut pertuduhan, Muhyiddin didakwa melakukan perbuatan itu di kawasan lapang berhampiran Dewan Semai Bakti Felda Perasu.

Beliau didapati menyebut perkataan yang menghasut pada 14 Ogos 2024 antara jam 10.30 hingga 11.50 malam.

Oleh itu, Muhyiddin didakwa melakukan kesalahan di bawah perenggan 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.