Sembunyikan Amalan Baik

Iklan
ISU

Orang soleh sebaik mungkin memelihara keikhlasan dengan menyembunyikan amalan dan kebaikannya daripada pandangan manusia. Sebagaimana mereka menyembunyikan aib dan kekurangannya.

Malah, tidak sempurna juga suatu amalan baik itu kecuali tiga perkara, iaitu menyegerakannya, beranggapan ianya kecil dan menyembunyikannya.

Iklan
Iklan

Menurut Editor Kanan Karya Bestari, Ustaz Mohamad Amiro Safwan Mohd Kamil, menjelaskan, keikhlasan adalah amalan yang diusahakan dan pemberian daripada ALLAH SWT.

Beruntunglah bagi mereka yang beriman, setiap perbuatannya dinilai sebagai ibadah dan menjadi wasilah untuk mendekatkan diri kepada ALLAH.

Iklan

Amal ibadah tidak akan sah kecuali diiringi dengan niat. Kerana niat tanpa amal diberi pahala, sedangkan amal tanpa niat adalah sia-sia.

Ibnu Hajar al-Atsqalani menjelaskan dalam kitabnya ”Nashaihul Ibad” bahawa amal itu harus disertai dengan niat yang ikhlas. Tanpa niat yang ikhlas, amal seseorang tidak akan diterima meskipun banyak.

Iklan

"Nikmatnya keikhlasan itu tidak akan lahir serta-merta, ia perlu diusahakan dari awal dengan niat di hati. Apabila seseorang itu membantu dan menghulurkan pertolongan dalam keadaan seseorang itu tidak mengharapkan sebarang imbuhan dan pujian, maka dia akan merasai kepuasan itu.

"Berbanding mereka yang hulurkan bantuan dengan mengharapkan akan ada mata yang memandang, ada telinga yang mendengar, dan ada bibir yang memuji.

Boleh jadi, sumbangannya itu bagus, namun nilai pahalanya hanya ALLAH SWT yang Maha Mengetahui,” katanya.

Soal hati adalah subjektif, siapapun kita, apabila berbicara tentang hati memang tidak boleh menipu diri sendiri.

"Sama ada seseorang itu menghulurkan bantuan dengan penuh rasa tanggungjawab dan keikhlasan, atau jauh di sudut hatinya mengharapkan sesuatu yang boleh menaikkan nama dan kedudukan. Hanya diri sendiri yang boleh menilai diri.

"Cara untuk mengikis sekelumit rasa riak dalam hati, adalah melalui sepotong doa yang diajar oleh Rasulullah SAW kepada para sahabat, iaitu ‘Wahai Tuhan yang mampu membolak-balikkan hati manusia, tolonglah daku wahai Tuhan, tetapkan hati ini di atas jalan agama,” jelasnya.

Bagaimanapun, dalam baik beberapa keadaan dibolehkan untuk menzahirkan pemberian dan bantuan, misalnya contoh yang ditunjukkan oleh seorang ayah kepada anaknya.

"Contoh tersebut bukanlah riak tetapi sebagai sebagai bentuk didikan, supaya bila besar nanti si anak juga turut menunjukkan contoh yang sama,”ujarnya.

Namun, apabila keikhlasan ini dikaitkan dengan kebesaran ALLAH, Amiro menjelaskan, pemberian yang mengharapkan pulangan manusia itu sebenarnya boleh mengundang kecewa.

"Berbeza bagi mereka yang tidak mengharapkan sesuatu balasan. Perasaan gembira yang lahir dalam jiwa itu sukar untuk digambarkan dan di situlah letaknya kebesaran ALLAH SWT.

"Hayati maksud doa iftitah yang sering dibaca ketika solat. ‘Sesungguhnya solat yang aku dirikan, apa sahaja ibadah yang aku lakukan, kehidupan dan kematian ini adalah kerana ALLAH SWT.

"Doa ini menjelaskan, seseorang yang beribadah kerana pahala, dan matlamatnya juga menuju yang Esa, ALLAH SWT akan memberikan ganjaran ke atasnya,” ulas beliau.

5 Tip Pelihara Keikhlasan

"Saya ikhlas membantu kamu.”

Keikhlasan bukanlah di lafaz di hujung lidah tetapi ia diterbit dari hati. Semakin disembunyikan amalan dan pemberian, semakin manis nikmatnya keikhlasan.

Berikut ialah tip untuk memelihara keikhlasan:

PERTAMA : Agungkan ALLAH SWT dengan mengEsakan-Nya, menyakini bahawa hanya kepada-Nya untuk disembah dan mohon pertolongan.

KEDUA : Memahami bahawa kita ini adalah makhluk yang diatur, lemah, fakir di hadapan Tuhannya. Suatu kerugian sekiranya amalan itu bersandarkan kepada pujian manusia lainnya.

KETIGA: Tahu bahawa hawa nafsu itu sebagai sumber kejahatan dan kejelekan.

KEEMPAT : Renungi bahaya riak di dunia dan akhirat.

KELIMA : Ingat, ajal kematian itu datang secara mendadak. Takut nanti kematian menjemput pada saat kita tidak ikhlas ketika beramal.

IKHLASKAN HATI

1.Fahami tanggungjawab asal, dan ALLAH reda dengan usaha kita.

2.Yakin bahawa kebaikan yang kita buat itu adalah kerana ALLAH.

3.Ikhlas boleh disuburkan, dengan menjauhkan diri daripada bergantung hidup dengan manusia lain.

4.Jika masih resah atau bimbang dengan kata orang terhadap kebaikan yang dilakukan, abaikan dan jadikan ia sebagai panduan, bukannya sebagai matlamat kebaikan kita.

5.Ikhlas itu sendiri bukanlah untuk diberitahu kepada orang.

6.Sekiranya diri sendiri masih bercakap tentang ikhlas dan kebaikan, itu bermakna kita belum lagi ikhlas.