170 PATI 'tersungkur' di laluan tikus tahun ini

Iklan
Faizatul (tengah) bersama Hakemal Hawari (empat dari kanan) bergambar pada sesi tayangan filem Takluk: Lahad Datu pada Selasa. - FOTO: SINAR HARIAN/ROSLI TALIB

PUTRAJAYA - Cubaan 170 pendatang asing tanpa izin (PATI) menyusup masuk dan keluar melalui laluan haram di pesisiran pantai dipatahkan menerusi pelbagai siri operasi tahun ini.

Komander Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Hakemal Hawari berkata, kesemua PATI itu ditahan pihaknya di beberapa lokasi pendaratan di Selangor hingga Johor.

Iklan
Iklan

"Jumlah PATI yang ditahan itu direkodkan bagi tempoh 1 Januari sehingga Ogos tahun ini dan kesemua mereka yang ditahan berasal dari negara jiran." katanya kepada Sinar Harian di Program Strategik Keselamatan Negara: Jiwa Merdeka Madani 2024 dekat sini pada Selasa.

Menurutnya, meskipun penguatkuasaan diperhebat, namun mereka tetap cuba masuk menerusi beberapa lokasi yang dirasakan berpeluang.

Iklan

"Hasil maklumat risikan kita telah mengenal pasti lokasi pendataran PATI dan pada masa sama pasukan turut melakukan pemantauan di lain-lain tempat," jelasnya.

Terdahulu Hakemal dan Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor, Faizatul Aini Mohd Adnan bersama 200 pegawai serta anggota PGA Brigef Tengah, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menyaksikan tayangan Takluk: Lahad Datu di pusat membeli-belah IOI.

Iklan

Turut serta, mahasiswa UiTM dan penuntut Institut Pendidikan Guru Kampus Pengajian Islam.

Sementara itu, Faizatul Aini ketika ditemui berkata, program anjuran MKN itu bermatlamat untuk menyampaikan mesej keamanan, cintakan negara dan menerapkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat.

"Kita bawa mahasiswa untuk melihat bagaimana pasukan keselamatan bergadai nyawa untuk memastikan seluruh rakyat dapat tidur lena," jelas beliau.

Tambah beliau, seluruh rakyat tidak boleh selesa dan ambil mudah dengan keamanan yang sedang dinikmati sekarang kerana cabaran keselamatan akan datang tanpa diduga.

"Kita mahu tingkatkan jati diri anak muda kerana mereka merupakan penyambung generasi untuk mempertahankan kedaulatan tanah air," katanya.