SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Setiap wanita di negara ini perlu mempunyai simpanan yang mencukupi selepas bersara daripada alam pekerjaan bagi memastikan mereka boleh meneruskan kehidupan tanpa terbeban dengan masalah kewangan di usia emas.
Ketua Jabatan Polisi dan Strategi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Balqais Yusoff berkata, purata jangka hayat wanita antara lima hingga tujuh tahun lebih lama berbanding lelaki dan jika simpanan terlalu sedikit ia akan memberi impak kepada wanita.
Menurutnya, simpanan wanita perlu lebih sedikit disebabkan faktor kesihatan, mengasuh anak serta menjaga ahli keluarga yang sakit.
"Persediaan persaraan kepada wanita amat penting kerana mereka hidup lama daripada lelaki jadi wanita perlu mempersiapkan diri mereka dengan kewangan yang mencukupi menjelang usia tua.
"Kita perlukan lebih simpanan kerana tidak mungkin kita mahu hidup tanpa wang yang mencukupi.
"Lima tahun pertama selepas bersara merupakan situasi kritikal kepada wanita terutama jika mereka tidak mempunyai anak atau keluarga untuk menyokong kewangan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Program She Leads bertajuk ‘Don't Go Broke In Your Golden Years’ yang dihoskan oleh Jessy Chahal secara rakaman di Dewan Karangkraf pada Selasa.
Turut hadir, Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Firdaus Hussamuddin; Ketua Pegawai Eksekutif Grup Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin; Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Trustees Bhd, Nor Fazlina Mohd Ghouse dan Perancang Kewangan dan Harta, Erin Adlina Adnan.
Sementara itu, menurut Balqais, tingkat pendapatan yang rendah juga menyukarkan wanita untuk membuat simpanan secara konsisten.
Tambah beliau, tahap gaji perlu dipertingkatkan kerana gaji minima sedia ada terlalu rendah untuk membiayai kehidupan seseorang lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi yang sedia mencabar.
"Majikan perlu membayar pendapatan pekerja dengan lebih bermakna untuk seseorang itu menjalani kehidupan yang lebih bermaruah," katanya.
Sementara itu, menurut seorang lagi panelis yang merupakan perancang kewangan, Erin Adlina Adnan, amalan menabung sepatutnya diamalkan sejak muda untuk memastikan seseorang memiliki simpanan masa tua yang mencukupi.
"Sesuatu perbuatan untuk menjadi tabiat atau kebiasaan selalunya mengambil masa sekitar 14 hari. Jadi kita boleh bermula dari sekarang, apabila tabiat menyimpan atau menabung itu ada, ia akan jadi kebiasaan," katanya yang turut diajar menabung sejak belasan tahun oleh ibunya.