KUALA LUMPUR - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) giat melaksanakan perbincangan termasuk dengan syarikat dan Jabatan Pentadbiran Am Kastam China untuk mengeksport durian kampung segar ke negara itu.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, durian kampung juga berpotensi besar untuk dipasarkan kerana mempunyai permintaan yang tinggi selain langkah tersebut dapat membantu pengusaha durian berskala kecil di kawasan kampung.
"Mereka (China) sedang kaji supaya kita letakkan durian itu sebagai kategori dua supaya jika ia dapat dipasarkan di sana nanti harganya mungkin sedikit berbeza," katanya.
Mohamad berkata demikian kepada media selepas Majlis Pelancaran Strategi Pembanterasan Rasuah Organisasi 2024-2028 atau GENTAR di Ibu Pejabat Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) di sini pada Selasa.
Sekiranya perbincangan itu diluluskan, Mohamad berkata, durian kampung dijangka dapat dipasarkan ke negara itu pada musim durian akan datang dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) boleh berperanan mengumpulkan bekalan durian tersebut.
"Misalnya, kita kumpul durian dari Bukit Gantang (Perak)...untuk sampai ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mengambil masa lima jam selain perlu lalui proses pembersihan dan sebagainya. Jadi, tidak sampai 40 jam durian segar ini boleh sampai ke China," katanya.
Semalam, media melaporkan durian segar pertama Malaysia ke China mula dijual di outlet peruncitan terpilih di enam wilayah iaitu Beijing, Zhengzhou, Shanghai, Guanzhou, Shengzen dan Nanning.
Pada Ahad, KPKM dalam kenyataan memaklumkan nilai eksport durian diunjur terus meningkat kepada RM1.8 bilion menjelang 2030
Kenyataan itu turut memaklumkan prestasi eksport durian negara dalam tempoh lima tahun iaitu dari 2018 hingga 2022 menggalakkan dengan nilai eksport melonjak 256.3 peratus atau peningkatan sebanyak RM822.8 juta. - Bernama