TENOM - Peguam bela, Datuk Ram Singh mempersoalkan tindakan saksi pendakwaan kesembilan yang telah membalas teks mesej Ebit Lew mengenai perihal seks pendakwah tersebut.
Dalam sesi pemeriksaan balasnya, saksi yang juga pengadu dalam kes itu bersetuju bahawa dia telah memberi enam balasan teks dengan Ebit Lew melalui tangkap layar perbualan dalam aplikasi WhatsApp mereka.
"Ya, saya balas dan beritahu dia tak boleh berjauhan dengan isteri dan kena dekat setiap masa," katanya kepada mahkamah di sini pada Selasa.
Pengadu kemudian ditanya oleh Ram, kenapa dia membalas mesej tersebut jika ia cenderung kepada seks.
"Sebab saya mahu tahu kenapa seorang Ebit Lew macam itu," katanya.
Menerusi soalan seterusnya, pengadu juga ditanya adakah dia bersetuju bahawa mereka boleh bermesej tanpa melibatkan seks kerana itu bukan urusan pengadu.
"Masalahnya, semua mesej dari Ebit Lew berunsur seks," dakwa pengadu.
Ram dalam soalannya turut mempersoalkan keprihatinan pengadu mengenai kehidupan seks pendakwah tersebut.
Dalam keterangannya itu pengadu mendakwa, sejak dari awal lagi Ebit Lew mengadu mempunyai masalah berkenaan.
"Jadi antara saya dan dia, saya cari dia untuk menyelesaikan masalah saya tetapi yang terjadi sebaliknya. Dia yang mengadu masalah dia dan saya tidak sangka dia memperdayakan saya," katanya.
Susulan dakwaan pengadu tersebut, Ram berkata, anak guamnya tidak pernah mengadu tentang masalah seksual yang keterlaluan tetapi itu adalah idea pengadu untuk merosakkan reputasi Ebit Lew.
Bagaimanapun, pengadu menafikan perkara itu dan mendakwa bahawa Ebit Lew pernah menghubunginya untuk memberitahu perihal seksnya.
Sebelum itu, Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim, 38, berhadapan dengan 11 pertuduhan membuat hantaran gambar dan perkataan lucah bermaksud mengaibkan kehormatan mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac hingga Jun 2021 mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Perbicaraan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, Zahida Zakaria dan Analia Kamaruddin.
Ebit Lew diwakili oleh Ram, Kamarudin Mohmad Chinki, Timothy Daut, Mohd Syarulnizam Salleh Keruak dan Prem Elmer Ganasan manakala Majistret ialah Nur Asyraf Zolhani.