KLUANG - Dua anggota polis parah akibat tertimbus tanah semasa menjalankan tugas memusnahkan bom di tapak perumahan Jalan Tabah, Taman Sri Lambak di sini pada Selasa.
Kejadian yang berlaku kira-kira jam 3 petang itu mengakibatkan anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom di sini.
Dua anggota dari Unit Pemusnah Bom Polis Johor yang terbabit dalam kejadian itu dikenal pasti sebagai Koperal Abd Halim Zainal dan Koperal Muhammad Faruuqi Shamsary.
Difahamkan Abdul Halim mengalami pernafasan tidak stabil, patah tulang pinggul dan tulang rusuk serta pendarahan dalam perut.
Sementara, Muhammad Faruuqi pula mengalami pernafasan tidak stabil dan patah tulang paha.
Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar mengesahkan berlaku kejadian tanah runtuh tetapi enggan mengulas lanjut mengenainya.
Sebelum itu, tular dalam media sosial mengenai kehadiran ambulan ke kawasan perumahan berkenaan hingga mengundang pertanyaan penduduk setempat.