RAMAI berpandangan kerjaya sebagai seorang wartawan hanya menulis berita, membangkitkan sensasi dan kebanyakannya berfikiran bahawa penulis mengarang sesuatu isu tanpa mengetahui sebarang fakta.
Perkara ini amat mendukacitakan kerana pengguna media sosial sering kali meninggalkan komen-komen memperlekehkan wartawan, kononnya tidak membuat ulang kaji dan menulis ikut perasaan.
Ramai tidak mengetahui bahawa nama yang terpapar di laman berita itu memikul tanggungjawab begitu berat dalam menyampaikan segala maklumat dan berita kepada masyarakat.
Setiap berita yang ditulis, lenggok bahasa dan cara penyampaian turut memainkan peranan dalam aspek penulisan berita, apatah lagi jika berkenaan fakta dan kenyataan daripada sumber diterima.
Setiap penulis sama sekali tidak dibenarkan untuk mengolah kenyataan yang diberikan oleh sumber sehingga mengetepikan fakta hanya kerana mengejar ‘clickbait’ semata-mata.
Luahan ini dilakukan susulan ada dalam kalangan pelayar media sosial sering menghentam wartawan dengan meninggalkan kata-kata kesat di ruangan komen.
Lebih menyedihkan apabila mereka melabel wartawan menulis ‘ikut suka hati’ hanya kerana membaca tajuk tertera tanpa menelusuri isi kandungan yang ditulis dengan penuh makna dan maklumat daripada sumber.
Menyentuh mengenai berita politik, ruangan komen di laman sosial, Facebook mula menjadi sensasi apabila ada laporan berkenaan ahli politik atau parti yang mereka sokong.
Jika laporan melibatkan dakwaan dan sebagainya terhadap wakil rakyat berkenaan, pasti ada yang mengecam tindakan wartawan menyiarkan berita berkenaan dan sekali lagi melabel wartawan itu ‘anjing’ kepada parti berkenaan.
Ini bukan soal menyokong kepada mana-mana parti tetapi dalam etika penulisan adalah ketelusan dan sama sekali tidak prejudis.
Bagaimanapun, hal berkenaan persepsi bahawa wartawan hanya tahu menulis semberono, bersikap berat sebelah dan sebagainya tidak boleh dihentikan kerana kebanyakan pelayar media sosial hanya ‘berkiblatkan’ tajuk semata-mata.
Bagi mereka, tajuk merupakan kesimpulan keseluruhan jalan penceritaan dan gemar mengambil langkah singkat dengan membuat pelbagai spekulasi hanya berpandukan judul tersebut.
Pun begitu, keadaan berkenaan telah menimbulkan persoalan kepada penulis tentang statistik membaca Malaysia dikeluarkan oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) tidak seiring dengan kelakuan mereka yang sering membuat ‘rumusan’ berdasarkan tajuk semata.
Berdasarkan kajian profil membaca tersebut menunjukkan bahawa budaya membaca dalam kalangan rakyat di negara ini semakin meningkat.
Lebih mengejutkan hasil kajian memaparkan peningkatan ketara iaitu daripada dua naskhah setahun pada tahun 2005 kepada 15 naskhah (2014) dan 24 naskhah (2020).
Bukan itu sahaja, statistik penerbitan Malaysia turut menunjukkan lonjakan angka yang ketara iaitu 19,713 buku diterbitkan pada tahun 2017 kepada 31,700 buku pada tahun 2020.
Melihat kepada angka tersebut, sudah pasti penulis mengharapkan pengguna media sosial membaca keseluruhan laporan yang ditulis itu.
Semua kandungan yang tertera dalam penulisan tersebut bukanlah karya ‘syok sendiri’ wartawan sebaliknya maklumat yang diterima daripada sumber.
Wartawan hanya menterjemah informasi yang diterima itu kepada satu jalan cerita yang mudah difahami untuk orang ramai membacanya tanpa mengubah apa-apa maklumat.
Ini yang diamalkan oleh wartawan dalam setiap laporan tidak kira ia membabitkan mana-mana figura ternama, ahli politik mahupun parti politik dan sebagainya.
Jika melakukan perkara seperti yang didakwa contohnya mengabaikan maklumat dan fakta dalam berkarya maka wartawan berisiko untuk berdepan hukuman seperti saman dan tindakan tatatertib.
Bagi mengelak risiko disaman dan sebagainya, wartawan perlu menyimpan bukti sama ada dalam bentuk audio, rakaman video atau bahan bertulis untuk dijadikan sebagai ‘pelindung’ sekiranya berdepan dengan segala tuduhan.
Kerjaya sebagai seorang wartawan bukan mudah dan wartawan sama sekali tidak mengamalkan prinsip penulisan ‘syok sendiri’.
* Nor Syamira Liana Nor Ashaha ialah Wartawan Meja Am Sinar Harian