Baju T ikat celup tema merdeka 'laku keras'

Iklan
Pekerja House Of Tie Dye, Shasuhaida Abdullah menunjukkan antara baju T yang dijual di kawasan riadah dan rekreasi Pantai Sura, Dungun.

DUNGUN - Jualan baju T menggunakan teknik 'tie dye' atau lebih dikenali sebagai ikat dan celup bertemakan Jalur Gemilang mendapat sambutan hangat sempena sambutan Hari Kebangsaan 2024 yang akan diraikan tidak lama lagi.

Pemilik House Of Tie Dye, Saiful Naim Abdul Rani, 38, berkata, sebanyak 1,000 helai pakaian itu telah terjual di dua lokasi jualan berdekatan Pantai Sura di sini dan di Pasar Payang, Kuala Terengganu.

Iklan
Iklan

"Outlet jualan berdekatan Pantai Sura di Dungun mula dibuka sejak awal Julai lalu dan sambutan pelanggan terhadap pakaian bertemakan Hari Kebangsaan amat memberangsangkan.

"Setakat ini di lokasi ini sahaja saya telah tambah stok baju sebanyak dua kali. Setiap stok kita tambah antara 400 hingga 500 helai kerana permintaan terhadap baju T tema merdeka sangat tinggi," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini baru-baru ini.

Iklan

Menurutnya, jualan di sekitar kawasan berdekatan pantai lebih menarik ramai pelanggan kerana suasananya yang lebih santai bertepatan dengan tema pakaian tersebut.

"Jualan secara 'outdoor' ini memudahkan bagi mereka yang keluar beriadah bersama keluarga dan sesuai dengan suasana pantai.

Iklan

"Kawasan ini juga ramai pelancong luar datang jadi secara tidak langsung mereka akan singgah di gerai jualan ini," ujarnya.

Saiful Naim berkata, pakaian yang dijual itu sesuai untuk semua lapisan usia kerana terdapat beberapa pilihan mengikut kategori dan saiz.

"Baju tema merdeka untuk bayi ini kita ada jual saiz bermula daripada bayi baru lahir hingga usia enam bulan. Kita juga ada 'romper' untuk bayi usia setahun hingga tiga tahun serta baju T Muslimah dengan rekaan lengan panjang dan labuh.

"Untuk saiz kanak-kanak kita ada sehingga usia 13 dan 14 tahun serta baju untuk dewasa bermula saiz XS hingga 6XL bermula RM25 hingga RM60 bergantung pada saiz dan jenis pakaian," katanya.

Jelas Saiful Naim, antara bahan digunakan untuk menghasilkan baju T itu ialah kain daripada fabrik kapas sejuk menjadikan ia selesa dipakai dan tidak panas.

"Untuk warna pada baju tersebut kita gunakan pewarna berkualiti yang tidak akan luntur. Cuma untuk basuhan pertama itu kita perlu asingkan untuk keluarkan gam yang digunakan.

"Untuk basuhan kedua dan seterusnya, tak perlu bimbang kerana ia tidak akan luntur. Makin lama basuh baju ini akan lebih sedap untuk dipakai," katanya.