SHAH ALAM - Dek kerana sering keluar masuk hutan sewaktu bertugas sebagai anggota tentera, siapa sangka Mejar (B), Mohd Fitri Shuib@Ismail pernah mengimamkan sekumpulan jin Islam di Empangan Ahning, Padang Terap, Kedah.
Mesra dikenali dengan gelaran Tuan Hutan, Mohd Fitri berkata, kejadian ketika bulan Ramadan pada 1998 lampau adalah kenangan yang paling berbekas dalam ingatan meskipun ia sudah lama berlaku.
Ujarnya, tidak dinafikan beliau pernah beberapa kali terserempak dengan pintu ke alam ghaib dan perkampungan bunian serta mengalami peristiwa seram sepanjang bertugas dalam hutan.
Menurutnya, ketika ingin menunaikan solat tarawih berjemaah bersama beberapa platun, kedengaran bunyi tapak kaki kira-kira 50 orang sedang berjalan menuju ke surau kecil yang dibina oleh pasukannya.
"Kami dirikan surau yang diperbuat daripada buluh dan saya jadi imam solat tarawih, sarjan pula jadi bilal. Kami askar jadi kami tahu berapa ramai orang di belakang dengan hanya dengar bunyi tapak kaki.
"Tiba-tiba terdengar bunyi tapak kaki macam 50 orang sedangkan surau kami kecil dan hanya memuatkan lapan orang askar serta dua saf kosong.
"Selepas saya habis baca al-Fatihah dan sebut 'Aamiin' memang bergema dengar semua sahut, daripada situ saya yakin ia betul-betul jin Islam," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Tuan Hutan turut memaklumkan, peristiwa meremang lain yang dialaminya ketika itu adalah apabila anak buah memberitahu terdapat suara merdu seakan-akan sedang mengaji al-Quran sedangkan tiada sesiapa di dalam surau tersebut.
Tambahnya, meskipun berdepan situasi sedemikian, ia dianggap satu pengalaman luar biasa kerana tidak semua orang berpeluang merasainya dan berkongsi alam bersama penghuni lain.
"Saya anggap ia benda baik sebab tak mengganggu kami pun, cuma berkongsi tempat iaitu hutan.
"Pada pandangan saya, ia sama sekali bukan gangguan, tetapi jin Islam ini manfaatkan apa yang ada iaitu gunakan surau kami untuk solat dan mengaji.
"Alhamdulillah ia satu kejadian yang paling diingati sampai sekarang, selebihnya saya simpan kemas dalam lipatan sejarah saya," ujar beliau lagi.