KUALA LUMPUR - Jijik dan meloyakan!
Itu gambaran pengalaman penulis ketika mengunjungi tandas di dua buah restoran 24 jam sekitar Sentul di sini untuk membuat tinjauan tahap kualiti kebersihan.
Kedua-dua restoran itu menempatkan kemudahan tandas di bahagian belakang kedai berhampiran dapur.
Laluan ke tandas itu juga sempit dan agak tersembunyi serta salah satu daripadanya tidak menyediakan sebarang papan tanda.
Malah hanya satu tandas disediakan untuk dikongsi pengguna lelaki dan perempuan.
Keadaan lantai juga menjijikkan dengan kesan karat dan berdaki menandakan telah lama ia tidak dibersihkan.
Tiada hos disediakan sebaliknya hanya air yang ditadah pada baldi digunakan untuk mencuci.
Mereka yang terdesak juga terpaksa menggunakan tandas itu dalam keadaan waswas apabila terdapat tingkap yang berlubang di bahagian atas yang membolehkan orang menghendap serta keadaan siling ibarat menunggu masa untuk runtuh.
Sementara itu, tinjauan kemudahan tandas di sebuah stesen transit aliran ringan (LRT) di ibu kota juga boleh dikategorikan agak menakutkan terutama bagi pengguna wanita.
Selain terletak di luar bangunan, lokasinya agak sunyi selain terdedah risiko diintai susulan terdapat tingkap di bahagian atas.
Malah kemudahan tandas itu juga terlalu asas dengan reka bentuk lama dan masih menggunakan baldi untuk menadah air.
Sistem pemarkahan yang ditampal di luar dinding tandas itu mendapati kemudahan itu bertaraf tiga bintang.