635 pengarah syarikat dihalang keluar negara

Iklan
Seramai 635 pengarah syarikat dihalang keluar negara akibat tunggakan KWSP. Gambar hiasan

SHAH ALAM - Seramai 635 pengarah syarikat dihalang untuk meninggalkan negara ini akibat tidak menjelaskan tunggakan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sepertimana diperuntukkan di bawah Seksyen 39 Akta KWSP 1991.

Ketua Pegawai Operasi KWSP, Sazaliza Zainuddin berkata, pihaknya telah mengemukakan senarai nama tersebut antara Januari hingga Jun tahun ini kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk tindakan lanjut selagi caruman tidak dilunaskan.

Iklan
Iklan

"KWSP mengingatkan semua majikan untuk membayar caruman pekerja mereka dengan segera seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 43 (1) Akta KWSP.

"Kegagalan berbuat demikian merupakan satu kesalahan serius. KWSP tidak akan teragak-agak untuk menggunakan penyelesaian undang-undang terhadap majikan yang ingkar, termasuk tindakan sivil dan jenayah demi melindungi hak pekerja.

Iklan

Setakat Jun lalu, seramai 13,820 majikan bersamaan 2.02 peratus daripada jumlah keseluruhan 685,399 yang berdaftar dengan KWSP gagal membayar caruman pekerja masing-masing.

Bagi tempoh yang sama, 12,787 pengarah syarikat telah dihalang keluar negara akibat tunggakan caruman.

Iklan

Dalam tempoh antara Januari dan Jun tahun ini, sebanyak 1,932 saman sivil dikenakan kepada pengarah syarikat manakala 2,200 kes jenayah difailkan terhadap majikan yang ingkar caruman KWSP bulanan pekerja.

Sazaliza turut memaklumkan, pengguna KWSP diminta untuk menyemak akaun secara berkala melalui aplikasi i-Akaun bagi memastikan setiap caruman majikan dibayar dengan amaun mencukupi dan tepat pada masanya.

"Sekiranya terdapat percanggahan, ahli hendaklah menghubungi majikan dengan segera, melaporkan kepada KWSP di www.kwsp.gov.my atau menghubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di talian 03-8922 6000.

"Di samping itu, KWSP amat menggalakkan majikan untuk menggunakan i-Akaun, membolehkan mereka menyemak senarai pekerja bagi caruman yang telah dibayar berserta sejarah pembayaran," ujar beliau.