SEREMBAN - Pasangan suami isteri didenda RM24,000 setiap seorang oleh Mahkamah Seksyen di sini pada Rabu selepas mengaku bersalah atas empat pertuduhan menyimpan kura-kura spesies dilindungi tanpa lesen pada 2022.
Orang kena saman (OKS), Lee Mun Heng, 65, dan Lim Chai Hak, 50, membuat pengakuan berkenaan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mazni Nawi.
Mazni turut memerintahkan OKS dikenakan satu bulan penjara bagi setiap pertuduhan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Berdasarkan pertuduhan, mereka secara bersama-sama menyimpan seekor kura-kura Katub jenis betina, tiga ekor kura-kura Katub, dua ekor kura-kura African Spurred Tortoise dan tiga ekor kura-kura Telinga Merah tanpa lesen iaitu hidupan liar yang dilindungi di bawah Jadual Pertama dan Kelima, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
Perbuatan itu dilakukan OKS pada 10 November 2022 jam lebih kurang 9:30 pagi, di premis kediaman di Green Street Homes, Seremban 2.
Kesalahan menyimpan kura-kura Katub dan African Spurred Tortoise pula didakwa di Seksyen 60(1)(a) Akta 716 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 60(1) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
Seterusnya, bagi kesalahan menyimpan kura-kura Telinga Merah dibuat di bawah Seksyen 117(1) Akta 716 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 117(2) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh didenda maksimum RM30,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Gilmoore G Bolongon manakala OKSdiwakili peguam Jayaprakash Rao.
Berdasarkan fakta kes, siasatan mendapati mereka memelihara kura-kura itu sejak tiga tahun lalu dan ada antaranya dibeli melalui penjual di media sosial Facebook.