BERHADAPAN dengan tuduhan menipu dan memalsukan tanda tangan ayahnya, Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin bukan sesuatu yang mudah untuk Putera Hang Jebat terima.
Namun, apa kudrat yang ada padanya selain hanya mampu menuntut keadilan menerusi platform undang-undang.
Selepas lima tahun bersabar dan menebalkan telinga mendengar persepsi kurang enak masyarakat sekeliking, Jebat, 37, akhirnya dapat menarik nafas lega apabila keputusan mahkamah berpihak padanya.
Baru-baru ini, Mahkamah Rayuan menolak kes saman sivil yang difailkan oleh dua abangnya iaitu Jeffrey dan Putera Hang Tuah sejak Januari 2019 lagi.
Jebat berdepan dakwaan memalsukan dokumen Surat Wakil Kuasa membabitkan sebidang tanah seluas 0.265 hektar di Kampong Pasir, Gombak yang dibuat oleh kedua-dua abangnya itu.
Namun, pada 13 Ogos lalu, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Jeffry dan Tuah dan kedua-dua mereka perlu membayar kos sebanyak RM10,000 kepada ketiga-tiga defendan termasuk Jebat.
Sebagai seorang manusia yang waras, Jebat tidak menafikan didakwa dengan tohmahan menipu dan memalsukan tanda tangan sangat-sangat mengguris perasaan dia selain menjejaskan namanya dan keluarga.
"Tapi, sebenarnya, pada 2012 lagi, memang niat ayah saya memberikan tanah itu kepada saya dan saya ada dokumennya. Tanah ini adalah tanah rizab Melayu dan pada ketika itu, perlu ditandatangani di depan pembantu pegawai daerah.
"Jadi, apabila dikatakan ayah menandatangani dokumen itu ketika sedang sakit dan sebagainya, mustahil kerana ada pegawai di situ sebagai saksi.
"Tohmahan-tohmahan itu sangat menjejaskan terutamanya ibu saya. Dia dihina dan dicaci. Saya memang susah nak terima benda itu kerana itu ibu saya," kata Jebat dalam nada sebak pada sidang media di sini, semalam.
Tidak henti-henti memanjat kesyukur, Jebat berkongsi sebab dia memilih berdiam diri sepanjang diuji dengan fitnah itu adalah kerana berpegang dengan pesanan arwah bapanya yang meminta agar hanya bersuara apabila keputusan sudah muktamad.
"Alhamdulillah, saya memang rasa lega. Selama lima tahun kami sekeluarga menerima pelbagai persepsi daripada masyarakat. Sekarang, saya rasa lebih tenang sebab kebenaran sebenarnya terbukti di pihak saya.
"Saya ikut pesanan ayah agar tidak terlalu dihebohkan pada awam. Apa-apa pun orang kata kepada keluarga, kita simpan sampai dah terbukti di mahkamah, baru kita akan kongsi.
"Pesan ayah lagi, biar keputusan dan betul-betul muktamad, barulah kita buat apa yang sepatutnya," ujar Jebat lagi.
Sidang media itu turut dihadiri ibunya, Puan Sri Halijah Abdullah, 65.
Kata Jebat, ibunya tidak terlepas daripada runsing dengan kemelut harta peninggalan seniman Jins Shamsuddin itu sehingga menjadi ‘perbalahan’ dalaman.
"Ibu runsing apabila berdepan dengan cacian dan makian. Tapi, mujurlah tak menjejaskan kesihatannya.
"Dia kena lalui lima tahun proses ini. Ada yang bertanya, ada yang bercakap, tapi semuanya kami kena tidak endahkan," jelas Jebat.
Pada sidang media, dia menegaskan, hasil daripada tanah yang dijual itu digunakan untuk menguruskan perbelanjaan perubatan ayahnya dan memberi kehidupan lebih selesa kepada arwah.
"Selepas saya jual tanah itu, semuanya adalah untuk perbelanjaan perubatan ayah dan juga untuk bawa ayah jalan-jalan. Kami nak dia rasa selesa selepas dah bersara.
"Saya buat Surat Kuasa Wakil ini untuk satu estet tanah sahaja. Ayah ada banyak lagi harta lain yang masih boleh difaraidkan. Kalau saya tamak, saya akan buat Surat Kuasa Wakil untuk semua harta ayah.
"Tapi, ketika dia masih hidup, dia dah sebut (pindah milik tanah). Tak ada kena mengena dengan saya nak bolot harta.
"Kebanyakan orang cakap saya nak bolot harta, sedangkan satu tanah ini sahaja yang ayah serahkan. Selebihnya, masih ada dan difaraidkan mengikut undang-undang," katanya.
Seniman legenda Jins Shamsuddin menghembuskan nafas terakhir pada 1 Mac 2017.
Pelakon masyhur itu dikurniakan empat orang anak lelaki iaitu Jeffrey hasil perkahwinan dengan seniwati Rahmah Rahmat sementara Hang Tuah pula anak Allahyarham dengan Jamilah Shukor.
Sementara Jebat dan adiknya, Putera Hang Nadim pula anak menerusi perkahwinan Jins dengan Halijah. - Awani