PUTRAJAYA - Jentera Urban Search and Rescue (USAR) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Kelab Bomba Cilik antara kelainan ditonjolkan dalam perbarisan Hari Kebangsaan ke-67.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, sebanyak dua jentera USAR akan dipamerkan buat kali pertama kepada umum pada sambutan tahun ini.
"Kelainan utama JBPM tahun ini ialah pasukan USAR yang melaksanakan kerja-kerja penyelamatan, khususnya melibatkan bangunan runtuh, tanah runtuh, terowong dan berkaitan risiko di perbandaran," katanya kepada Bernama di sini pada Rabu.
Nor Hisham berkata, JBPM menerima lima jentera USAR tahun ini, sebuah jentera diterima pada Februari manakala empat lagi diterima Julai lepas.
Beliau berkata, jentera USAR itu membabitkan tender bernilai RM7.5 juta dua tahun lepas bagi kegunaan Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM).
Nor Hisham berkata, JBPM juga mengetengahkan Kelab Bomba Cilik yang dijenamakan semula yang sebelum ini dikenali Kelab Keselamatan Kebakaran Kanak-Kanak (Kelab 3K).
Beliau berkata, JBPM tahun ini menampilkan kekuatan 416 ahli kontinjen untuk menunjukkan fungsi dan peranan jabatan itu dengan jumlah aset sebanyak 24 meliputi darat serta udara.
Dua unit aset udara akan bersama-sama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengadakan pertunjukan udara.
Sambutan Hari Kebangsaan bertemakan"Malaysia Madani: Jiwa Merdeka" akan diadakan di Dataran Putrajaya. - Bernama