Jeda kemanusiaan diperlukan untuk vaksinasi 640,000 kanak-kanak di Gaza - PBB

Iklan
Jeda kemanusiaan perlu segera dilakukan dalam konflik di Gaza untuk memastikan lebih 640,000 kanak-kanak dapat menerima vaksin polio. Foto AFP

ISTANBUL - Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan rakan kongsinya mendesak agar jeda kemanusiaan segera dilakukan dalam konflik di Gaza untuk memastikan lebih 640,000 kanak-kanak dapat menerima vaksin polio, lapor Agensi Anadolu (AA).

Permintaan itu menekankan keperluan mendesak untuk menghentikan segera permusuhan bagi mengelakkan penularan penyakit berkenaan dalam kalangan penduduk yang terdedah di kawasan itu.

Iklan
Iklan

Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) dalam satu kenyataan memaklumkan agensi itu bersedia untuk memberikan vaksin, namun keadaan keselamatan yang semakin merosot memerlukan gencatan senjata sementara atas dasar kemanusiaan.

Agensi itu memberi amaran bahawa kelewatan dalam kempen vaksinasi boleh meningkatkan risiko penularan polio dalam kalangan kanak-kanak.

Iklan

Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF) dengan kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), UNRWA, dan rakan kongsi lain, telah menghantar 1.2 juta dos vaksin polio jenis 2 ke Gaza.

Mereka merancang untuk memberi vaksin kepada lebih 640,000 kanak-kanak di wilayah itu.

Iklan

Penghantaran vaksin kritikal itu disokong oleh Qatar Charity, yang mendermakan US$3 juta untuk membantu usaha UNRWA di Gaza.

Seorang pegawai kanan UNRWA Sam Rose menekankan keadaan mencabar di Gaza dengan keluarga yang kehilangan tempat tinggal dan kerap berpindah disebabkan arahan Israel telah mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk penularan virus polio.

Beliau menegaskan bahawa kekurangan akses kepada keperluan asas seperti makanan, air, dan penjagaan kesihatan memburukkan lagi keadaan, menjadikan penularan virus itu ancaman yang nyata.

Situasi di Gaza bertambah rumit dengan laporan mengenai kes polio pertama yang dikesan di wilayah itu dalam tempoh 25 tahun pada 16 Ogos.

Kementerian Kesihatan Palestin melahirkan kebimbangan bahawa ini mungkin menunjukkan kehadiran banyak kes yang tidak dikesan.

Penemuan kes polio itu ditambah dengan masalah berterusan seperti sanitasi yang buruk dan akses air yang terhad.

Pegawai-pegawai PBB melahirkan kebimbangan mendalam mengenai krisis kesihatan yang sedang berlaku di Gaza, terutamanya sejak tercetusnya konflik Israel-Hamas pada 7 Oktober tahun lepas.

Sejak itu, kira-kira 50,000 bayi telah dilahirkan di Gaza dengan kebanyakannya tidak menerima sebarang vaksinasi akibat krisis yang berterusan. - Bernama-Anadolu