Lelaki Myanmar didakwa rasuah 'lepaskan' warga asing

Iklan
Laporan Sinar Harian sebelum ini.

SHAH ALAM - Seorang pekerja pendawaian elektrik warga Myanmar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, atas satu pertuduhan merasuah pegawai Imigresen Malaysia (JIM) sebanyak RM5,650 bagi melepaskan sembilan individu dari negara sama, tahun lalu.

Tertuduh, Pho Cho, 37, yang tinggal di negara ini sejak 18 tahun lalu, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Melayu, di hadapan Hakim, Datuk Anita Harun.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, bapa kepada dua anak itu didakwa memberikan rasuah berjumlah RM5,650 sebagai upah kepada seorang pegawai JIM yang bertugas di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2).

Ini sebagai dorongan melepaskan kemasukan sembilan warga Myanmar ke negara ini tanpa melalui prosedur yang ditetapkan, di medan selera Indah Puteri, Kampung Baharu Lanjut, Sepang pada jam 3.55 petang, 31 Oktober 2023 lalu.

Iklan

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16 (b) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum bawah Seksyen 24 (1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Iklan

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muaz Ahmad Khairuddin tidak mencadangkan sebarang jaminan memandangkan tertuduh merupakan warga asing.

"Saya memohon perintah larangan agar mana-mana saksi yang terlibat dalam kes ini tidak disiarkan di media sosial dan keratan akhbar kerana dikhuatiri boleh menganggu siasatan kes lain," katanya.

Bagaimanapun, peguam, Ungku Imran Athari yang mewakili lelaki itu memohon ikat jamin pada kadar rendah dan anak guamnya berjanji tidak melarikan diri.

Beliau juga tidak membantah sekiranya mahkamah menetapkan syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Anita membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM70,000 bersama seorang penjamin serta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM setiap awal bulan.

Mahkamah turut membenarkan permohonan pihak pendakwaan bagi mendapatkan perintah larangan mengenai nama-nama saksi dan menetapkan sebutan semula kes pada 30 September depan.

Menerusi laporan khas Sinar Harian, kegiatan membawa masuk warga asing tanpa melalui pemeriksaan pihak berkuasa di pintu masuk negara terbongkar menerusi penahanan 12 individu sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kelantan pada minggu lalu.

Operasi dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu berjaya melumpuhkan sindiket membawa masuk warga asing seperti dari Myanmar, Bangladesh, Indonesia, India, Pakistan dan Nepal.

Lebih mengejutkan kegiatan ini turut didalangi beberapa penguatkuasa sebuah agensi yang bertugas di pintu masuk negara.

Bagi mengelakkan komunikasi mereka dikesan, penguat kuasa dan sindiket berkenaan turut menggunakan beberapa kod nama khas seperti school boy, salak, limau, laici, karpet, kicap, roti canai, junta dan ayam.

Ringkasan berita:

  • Pertuduhan: Pho Cho, 37, dari Myanmar, didakwa merasuah pegawai Imigresen RM5,650 untuk melepaskan sembilan warga Myanmar di KLIA2 pada 31 Oktober 2023.
  • Hukuman: Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan penjara hingga 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan.
  • Jaminan: Tertuduh dibenarkan diikat jamin RM70,000 dengan syarat menyerahkan pasport dan melaporkan diri di SPRM setiap bulan.
  • Larangan: Mahkamah melarang penyiaran nama-nama saksi di media sosial.
  • Sebut Semula: Kes akan disemak semula pada 30 September 2024.
  • Sindiket Imigresen: Sindiket membawa masuk warga asing terlibat pegawai penguatkuasa dan menggunakan kod nama khas untuk elak dikesan.
Dijana oleh AI