KUALA LUMPUR - Laluan di sepanjang Jalan Masjid India ditutup bagi semua kenderaan susulan kejadian kedua melibatkan tanah mendap di sini pada Rabu.
Tinjauan Sinar Harian mendapati laluan ini ditutup dianggarkan sepanjang 200 hingga 300 meter bagi semua kenderaan atas faktor keselamatan.
Terdahulu, petugas keselamatan dilihat meletakkan pita keselamatan di sepanjang laluan itu bagi mengelakkan kenderaan melalui jalan berkenaan.
Selain itu, orang ramai turut dilarang melintasi sepanjang laluan yang ditutup ini.
Terdahulu, kejadian tanah mendap dilaporkan berlaku kira-kira 50 meter dari lokasi insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India di sini.
Kejadian tanah mendap itu dipercayai berlaku sekitar jam 2.30 pagi tadi selepas hujan lebat dan ribut pada Selasa malam.
Bagaimanapun, tinjauan di lokasi mendapati kawasan itu telah ditutup sepenuhnya oleh pasukan keselamatan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Kejadian tanah jerlus pada Jumaat lepas menyebabkan seorang wanita dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, dari Kuppam, Andhra, India hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter di situ dengan operasi mencari dan menyelamat memasuki hari keenam hari ini.
Dalam pada itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah jerlus di Jalan Masjid India di sini bersambung semula pagi Rabu selepas ditangguhkan pada 7.30 petang Selasa, ekoran hujan lebat.