SHAH ALAM - Keputusan Pemuda UMNO menubuhkan Jawatankuasa Suara Pemuda UMNO Felda merupakan langkah tepat bagi mengembalikan kepercayaan dan mendapatkan sokongan warga Felda terutamanya generasi baharu.
Presiden Kami Anak Felda (KAF), Fakhrul Razi Husin berkata, pihaknya menyambut baik cadangan penubuhan jawatankuasa terbabit memandangkan Felda diibaratkan sebagai bayi kepada UMNO.
Beliau berkata, usaha menubuhkan jawatankuasa itu amat bagus, malah ia satu kewajipan perlu dilakukan UMNO demi mendapatkan semula kepercayaan warga Felda terutamanya generasi baharu Felda.
"Jikalau, (generasi) dalam tanah rancangan (Felda) tidak ada masalah (memandangkan) kita ada struktur. Memang kita selalu buat, Felda (atau) pihak lain (memang) banyaklah fokus kepada (peneroka) yang dekat dalam tanah rancangan.
"Sedangkan, dekat luar tanah rancangan (Felda) ini, kita lihat banyak ditinggalkan dan tidak disantuni," katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berpandangan, perkara terbabit perlu dilihat dan diberi perhatian oleh UMNO supaya generasi baharu khususnya yang tinggal di luar merasakan mereka dibantu dan sebagainya.
Beliau berkata, generasi baharu berada di luar tanah rancangan Felda dikhuatiri kurang disantuni, sekali gus menyebabkan mereka menentang ketika pilihan raya berlaku.
"Jadi, (penubuhan jawatankuasa) ini adalah satu langkah cukup baik kepada saya, pendekatan yang terbaik dilakukan UMNO," katanya.
Fakhrul Razi berkata, Jawatankuasa Suara Pemuda UMNO Felda diyakini mampu untuk menyantuni semula anak-anak generasi Felda ini.
Menurut beliau lagi, Felda sudah berjaya melaksanakan tanggungjawab penubuhannya untuk membasmi kemiskinan dan memberi pekerjaan kepada peneroka.
Bagaimanapun, beliau menyuarakan kebimbangan, anak-anak generasi Felda ketika ini tidak dilihat secara spesifik ataupun khusus,yang mana mungkin disebabkan jumlah mereka terlampau ramai.
Sehubungan itu, Fakhrul Razi berpandangan, penubuhan jawatankuasa yang menyantuni kembali anak-anak generasi Felda ini mampu memberi impak positif dan perubahan diperlukan warganya.
"Felda adalah bayi kepada UMNO dan menjadi sebagai punca kuasa kepada UMNO terus berkuasa sebelum ini, kerana kawasan Felda ini ada 54 Parlimen dan 92 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)," katanya.
Beliau turut menyifatkan, mana-mana pihak dapat menawarkan pakej ataupun memberi perhatian dengan anak-anak generasi Felda ketika ini akan mendapat sokongan mereka, sekali gus mendapat kuasa untuk memerintah negara ini.
"Saya nampak (jawatankuasa) ini adalah satu kewajipan, jikalau mereka hendak relevan untuk menyantuni anak-anak generasi (Felda)," katanya.
Pada Khamis, Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Suara Pemuda UMNO Felda yang akan diketuai Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO, Aznan Tamin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat.
Akmal berkata, jawatankuasa itu ditubuhkan sebagai bukti UMNO benar-benar ambil berat tentang anak-anak Felda dan ia akan digerakkan di semua cawangan Pemuda UMNO yang ada di Felda di seluruh negara.