PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan orang ramai supaya berwaspada dengan mesej di media sosial yang kononnya mengutip derma untuk rakyat Palestin yang sedang menerima rawatan di Malaysia.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, Anwar menzahirkan peringatan itu semasa mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
"Kerajaan tidak mengutip derma bagi tujuan membantu, membiayai dan menyediakan makanan bagi warga Palestin yang menerima rawatan di Malaysia pada waktu ini," katanya pada sidang media mingguan Menteri Komunikasi di sini hari ini.
Beliau berkata, orang ramai yang menerima mesej itu dinasihat agar membuat laporan polis atau mengemukakan aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.
Pada 16 Ogos lepas, dua pesawat Airbus A400M TUDM membawa 41 rakyat Palestin yang cedera dan 86 ahli keluarga mereka selamat mendarat di Pangkalan Udara Subang, Selangor pada kira-kira 2 petang setelah berlepas dari Pangkalan Tentera Udara Al Maza di Kaherah, Mesir pada petang 15 Ogos.
Rakyat Palestin yang cedera menerima rawatan di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Kuala Lumpur manakala yang lain ditempatkan di lokasi transit disediakan oleh Kementerian Pertahanan.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, Jemaah Menteri hari ini menerima laporan awal mengenai insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India pada Jumaat lepas yang menyebabkan seorang wanita warga India dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter.
Beliau berkata, Jemaah Menteri setakat ini belum membuat sebarang keputusan mengenai tempoh operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita itu, yang kini memasuki hari keenam.
"Tempoh operasi SAR belum diputuskan... maka selagi belum ada pengumuman, ia akan diteruskan," katanya. - Bernama