KUALA LUMPUR - Kerajaan Malaysia hari ini mencadangkan penyelesaian secara mediasi dalam saman yang difailkan ibu kepada model Belanda, mendiang Ivana Esther Robert Smit terhadap polis, Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan.
Pada 2020, Christina Carolina Gerarda Johanna Verstappen, 60, memfailkan saman terhadap ketiga-tiga pihak itu dan pegawai penyiasat Dang Wangi, Asistan Superintenden Faizal Abdullah kerana didakwa melanggar kewajipan statutori dan cuai dalam penyiasatan untuk menentukan punca kematian anak perempuannya yang berusia 18 tahun.
Hari ini, ketika perkara itu disebut untuk pengurusan kes di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Roz Mawar Rozain, Peguam Persekutuan (FC) Mohd Khairulhazman Ghazali berkata, mediasi itu akan dijalankan di Pusat Mediasi di sini dari 23 hingga 27 September ini.
Perkara itu tidak dibantah oleh peguam Verstappen iaitu Datuk S N Nair yang menyatakan ia tawaran yang serius untuk melakukan mediasi dan pihaknya bersedia untuk terlibat dalam proses berkenaan.
Sebelum menetapkan 30 September untuk pengurusan kes, Roz Mawar mengingatkan kepada FC bahawa saman itu sudah berlanjutan hingga empat tahun dan tarikh perbicaraan sudah ditetapkan pada 14 Okt, dengan saksi dari luar negara bersedia untuk memberikan keterangan.
"Apabila anda berkata anda bersedia untuk mediasi, adakah anda baru putuskan perkara itu pagi tadi atau ia sudah dirancang lebih awal?" tanya Roz Mawar kepada Mohd Khairulhazman.
Menjawab persoalan itu, Mohd Khairulhazman berkata arahannya adalah untuk menyampaikan cadangan kerajaan dan mediasi akan dijalankan dari 23 hingga 27 Sept.
Dalam pernyataan tuntutan, Verstappen mendakwa anak perempuannya ditemukan maut di tingkat enam CapSquare Residence pada 7 Dis 2017 selepas terjatuh dari tingkat 20 unit kondominium yang dimiliki pasangan Amerika, Alex Johnson dan Luna Almazkyzy.
Beliau mendakwa polis telah melakukan kecuaian apabila gagal menutup lokasi kejadian atau menjalankan siasatan sewajarnya terhadap Johnson dan Almazkyzy selain gagal menahan, mengekstradisi dan menjamin kehadiran pasangan itu sebagai saksi utama semasa inkues.
Pada 18 Mac 2019, Mahkamah Koroner memutuskan bahawa kematian Ivana disebabkan oleh misadventure (kemalangan akibat nahas).
Tidak berpuas hati dengan keputusan Koroner, Verstappen mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan pada 22 November 2019, Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah mengetepikan keputusan Mahkamah Koroner dan menggantikannya dengan"kematian yang disebabkan oleh seorang atau beberapa individu tidak dikenali". - Bernama