MERBOK - Siaran secara langsung selama satu jam 30 minit menerusi infak pembangunan hotel Masjid Al-Busyra RM2.40 berjaya memperoleh kutipan lebih RM200,000.
Pengerusi masjid merangkap Imam Masjid Al-Busyra, Mohd Firdaus Mat Akhir berkata, 'live' yang dijalankan di pelbagai platform media sosial bermula jam 9.30 malam Isnin itu memperoleh dua kali ganda sasaran ditetapkan iaitu sebanyak RM100,000.
Menurutnya, kutipan dijalankan secara lima pusingan di mana pusingan pertama hingga ketiga mengambil masa 15 minit sebelum berhenti rehat.
"Pusingan keempat pula dijalankan selama 30 minit sebelum berhenti seketika dan kembali dengan pusingan terakhir yang mengambil masa 15 minit.
"Masa keseluruhan kutipan dilancar sekitar sejam 30 minit dan Alhamdulillah berjaya memperoleh sebanyak RM219,931.99 daripada pengguna media sosial yang bermurah hati memberikan sumbangan dalam live," katanya.
"Pembinaan hotel kini sekitar 55 peratus dan dijangka siap pada bulan Oktober, dibina dengan 10 bilik yang mana boleh memuatkan lebih kurang 40 orang dalam satu masa," katanya.
Terdahulu Sinar Harian melaporkan, pada Februari lalu, Mohd Firdaus telah melancarkan kutipan RM2.40 melalui live bagi mencukupkan dana berjumlah RM2.4 juta untuk pembinaan hotel berkenaan.
Ketika itu, kutipan yang berjaya dikumpul ialah RM245,452 termasuk lebih RM100,000 kutipan terkumpul lebih awal, sebelum live bermula.
Menurutnya, pembinaan hotel dalam kawasan masjid bukanlah satu pembaziran sebaliknya memberi manfaat kepada pembangunan ekonomi Islam.
Selain itu, Mohd Fridaus berkata, pembinaan hotel juga bakal membuka peluang pekerjaan kepada anak kariah terutama penduduk tempatan.
Tidak hanya menyediakan hotel, masjid yang tular di media sosial berikutan kerja-kerja naik taraf yang dijalankan selain dilengkapi kemudahan medan selera, dobi layan diri, telaga wakaf, spa muslimah, tempat gunting rambut dan cuci kereta itu telah berjaya menjadi tarikan pengunjung dalam dan luar negara untuk singgah ke Merbok.
Orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank bernombor 5521-8953-2234 atas nama Masjid Al-Busyra Merbok.