Halidan mahir buat gambus

Iklan
Halidan menguji bunyi gambus yang telah siap dipasang talinya.

BATU PAHAT - Pembuat gambus, Halidan Ithnin ialah insan yang paling gembira apabila Batu Pahat didaftar di bawah Petunjuk Geografi (GI) Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) bagi penghasilan alat muzik gambus.

Halidan, 54, yang berkecimpung dalam pembuatan gambus sejak 20 tahun lalu merupakan seorang daripada dua pembuat gambus Hadramaut atau dikenali juga sebagai gambus Arab di Batu Pahat.

Iklan
Iklan

Bagi Halidan, keistimewaan alat muzik gambus Hadramaut Johor adalah pada proses pembuatannya dan bahan asasnya yang menggunakan kayu-kayan tempatan seperti rengas, merawan dan kayu daripada pohon buah-buahan seperti durian belanda dan ciku.

Halidan yang merupakan anak saudara kepada tokoh pembuat gambus Johor yang terkenal sekitar tahun 1970-an, Allahyarham Hassan Othman atau lebih dikenali Pak Hassan berhasrat menghasilkan gambus yang bercirikan kesenian alam Melayu dan identiti budaya Johor.

Iklan

"Sebelum ini dekorasi gambus ter-ikut-ikut pengaruh Arab tetapi saya berhasrat menghasilkan gambus menggunakan motif flora dan fauna yang ada di Malaysia serta identiti Johor seperti lada hitam,” katanya di sini baru-baru ini.

Anak kelahiran Senggarang, Batu Pahat itu turut menjelaskan, gambus di Batu Pahat mempunyai keunikan tersendiri dan sehingga kini proses pembuatan alat muzik itu masih mengekalkan cara lama.

Iklan

Menurutnya, kayu-kayan tempatan yang diperoleh dari hutan berdekatan akan diproses secara tradisi dan pengeringan kayu dilakukan dengan menjemurnya di bawah cahaya matahari.

"Selepas dikeringkan, kita asingkan kayu yang berkualiti dan elok untuk dibuat gambus. Kalau kayu baharu, biasanya saya keringkan ikut suhu bilik sahaja.

"Setelah proses layur untuk lengkungkan kayu, baru kita jemur di bawah matahari untuk pastikan lengkungan itu tidak berubah,” katanya.

Halidan memasangkan 'rusuk' pada badan gambus.

Halidan berkata, gambus buatan tangan boleh bertahan lama sehingga 20 tahun, namun ia bergantung kepada pemilihan kayu dan gam yang berkualiti.

"Gam penting dalam menentukan kualiti gambus. Kalau gam yang digunakan bagus dan bersesuaian, gambus yang dihasilkan akan tahan lama.

"Penyediaan gambus pula bergantung kepada kualiti bahan yang digunakan, paling singkat satu atau dua minggu dan paling lama antara dua hingga tiga bulan,” katanya.

Halidan yang merupakan bekas pensyarah sambilan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) berkata, beliau mempelajari seni pembuatan gambus dengan mengamati teknik penghasilan gambus oleh Allahyarham Pak Hassan.

"Ketika orang tua saya (Pak Hassan) buat gambus, saya buat alat muzik gendang Marwas dan Jidur. Saya suka memerhati, tanya sikit-sikit, duduk dengan dia dan dari situ mula berminat buat gambus,” katanya yang tinggal bersama Pak Hassan sejak dia berusia tiga tahun.

Meskipun tidak mahir memainkan alat muzik gambus, namun Halidan menggunakan teknik sukat dan ukur bagi mendapatkan bunyi atau suara gambus yang betul ketika proses pembuatannya.

Beliau juga sering berdampingan dengan pemuzik gambus bagi mendapatkan maklum balas untuk menghasilkan gambus yang berkualiti. - Bernama