Audit integriti akan dilaksanakan di kawasan tanah jerlus

Iklan
Fadillah (tengah) pada sidang akhbar selepas membuat tinjauan di lokasi warga India yang hilang akibat tanah jerlus di Jalan Masjid India pada Rabu.

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan melaksanakan audit integriti untuk menyiasat punca berlakunya tanah jerlus di lokasi-lokasi terlibat di Lembah Klang.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, siasatan akan dilaksanakan selepas tamat proses mencari dan menyelamat mangsa.

Iklan
Iklan

Menurutnya, tindakan tersebut dilaksanakan susulan seorang wanita warga India yang hilang akibat tanah jerlus di Jalan Masjid India pada Jumaat lalu.

"Pihak kami dah keluarkan arahan untuk buat audit integriti maknanya buat pemeriksaan di keseluruhan kawasan ini. Sebab apa punca kemalangan ini berlaku.

Iklan

"Tapi yang itu (siasatan) akan berlaku selepas ini. Tumpuan sekarang adalah cari dan selamat. Bila dah selesai, kita perlu buat audit integriti,” katanya semasa sidang akhbar selepas meninjau keadaan sekitar lokasi tragedi tanah jerlus di Jalan Masjid India pada Rabu.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.

Iklan

Mangsa yang berada di negara ini bersama keluarganya untuk melancong, dilaporkan sedang berjalan kaki melalui kawasan berkenaan sekitar jam 8 pagi menuju ke sebuah kuil berhampiran sebelum kejadian itu berlaku.

Mengulas lanjut, Fadillah akan memanggil semua pihak berkuasa yang terlibat termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Semua pihak utiliti ini untuk kita melihat apa segi utiliti yang ada di bawah tanah untuk kita membuat post mortem.

"Kita akan melihat bagaimana nak pastikan pada masa depan tidak akan berulang lagi perkara ini, jadi kita akan buat audit sekali gus melihat keseluruhan sistem saliran kita,” tambahnya.

Fadillah menegaskan semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi bagi menjaga sensitiviti ahli keluarga mangsa.

"Kita tahulah setiap kali berlaku apa-apa sahaja, ramailah pakar-pakar Google akan keluar.

"Jadi, jangan lakukan perkara ini kerana ianya tidak akan membantu, biarlah pihak terlibat yang buat siasatan,” ujarnya.