Tanah jerlus: Suruhanjaya Tinggi India beri sokongan kepada keluarga mangsa

Iklan
Suami kepada mangsa tanah mendap, warga India Mathavan (dua dari kanan), menunggu di lokasi kejadian untuk mendapatkan perkembangan terkini mengenai operasi mencari dan menyelamat (SAR) isterinya yang hilang dalam insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Tinggi India di Kuala Lumpur sedang bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan ketika usaha mencari dan menyelamat (SAR) seorang wanita dari negara itu yang terjatuh ke dalam lubang sedalam lapan meter memasuki hari keenam.

Suruhanjaya tinggi itu juga terus berhubung dengan keluarga wanita berkenaan untuk menawarkan sokongan berterusan.

Iklan
Iklan

"Pencarian masih diteruskan untuk mengesan warganegara India (Vijayaletchumy, 48,) yang terjatuh ke dalam lubang di Kuala Lumpur pada Jumaat, 23 Ogos,” menurut suruhanjaya tinggi itu dalam satu hantaran di platform X pada Rabu.

Menurut suruhanjaya tinggi, pasukan SAR sedang menganalisis dengan teliti laluan dan lokasi baharu yang mungkin dapat mengesan warga India yang hilang itu.

Iklan

"Pihak berkuasa tempatan termasuk polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Indah Water Konsortium, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), kini disokong oleh Angkatan Pertahanan Awam dan pasukan saintifik khusus dengan peralatan canggih yang terlibat dalam pencarian,” menurut kenyataan itu.

Menurut hantaran itu, selepas ‘membersihkan’ sebahagian sistem saliran, pencarian dipertingkatkan dengan teknik khusus termasuk penggunaan pancutan air tekanan tinggi untuk mengalihkan halangan, kamera kawalan jauh dan radar menembusi tanah untuk memetakan kawasan yang sukar diakses.

Iklan

Pada 23 Ogos, Vijayaletchumy, 48, dari Kuppam, Andhra Pradesh, India dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam lubang sedalam lapan meter yang disebabkan oleh tanah jerlus.

Operasi mencari dan menyelamat untuk mengesannya kini memasuki hari keenam.

Mangsa yang berada di Malaysia bersama keluarganya untuk bercuti sedang melalui kawasan itu dalam perjalanan ke kuil berhampiran ketika kejadian berlaku. - Bernama