Ini hero selamatkan Malaysia daripada virus Nipah

Iklan
Dr Chua Kaw Bing individu pertama yang merungkai virus Nipah sekali gus menamatkan siri kematian misteri di Malaysia pada tahun 1999. - Sumber National Public Radio

PENULARAN wabak koronavirus Wuhan di China sehingga merekodkan jumlah kematian seramai 213 orang (ketika artikel ini ditulis) mengingatkan kita kepada beberapa tragedi wabak penyakit lain yang menakutkan penduduk dunia.

Antaranya yang paling diingati termasuklah virus ebola pada tahun 1976 di Sudan, sindrom pernafasan akut teruk (SARS) pada tahun 2002 di China dan sindrom pernafasan akut Timur Tengah (Mers-Cov) pada tahun 2014, namun tahukah anda, derita yang kini menghantui penduduk Wuhan juga pernah dirasai jutaan warga Malaysia.

Iklan
Iklan

Tragedi hitam kira-kira 20 tahun lalu bermula di Malaysia sendiri dengan kejadian paling teruk di Kampung Sungai Nipah dan Bukit Pelandok di Negeri Sembilan, sehinggakan nama virus baharu itu sendiri turut diambil nama sempena lokasi kejadian.

Cuba bayangkan ketakutan rakyat Malaysia pada tahun 1999 itu, apabila penyakit misteri tersebut bukan sahaja membunuh satu atau dua orang, sebaliknya meragut nyawa 105 manusia.

Iklan

Namun, tidak ramai yang mengetahui kisah seorang individu yang telah menjadi hero apabila merungkai dan menamatkan kegilaan penyakit misteri yang berbulan-bulan menghantui rakyat Malaysia.

Dr Chua Kaw Bing individu pertama yang merungkai virus Nipah sekali gus menamatkan siri kematian misteri di Malaysia pada tahun 1999. - Sumber National Public Radio

Tiada siapa yang menyangka pada usia 20-an, Chua Kaw Bing (kini doktor) yang ketika itu sebenarnya seorang pelajar yang menyambung pengajian doktor falsafah (PhD) dalam bidang Virologi di Universiti Malaya (UM) menjadi orang pertama menemui satu virus maut yang kemudiannya diberi nama virus Nipah.

Iklan

Kegigihan Kaw Bing yang tidak pernah kenal erti putus asa memastikan kerajaan berjaya mengakhiri sepenuhnya penularan wabak virus Nipah.

Kaw Bing yang kini Penyiasat Prinsipal Kanan di Temasek Lifesciences Laboratory di Singapura ketika dihubungi Sinar Harian menjelaskan seboleh-bolehnya beliau enggan untuk mengenang kembali peristiwa hitam berkenaan.

"Biarpun berjaya menemui virus berkenaan, namun kesan daripada serangan wabak itu amat menyedihkan buat saya," katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Bercerita kembali sebelum penemuan virus Nipah itu yang turut sama dimuatkan dalam jurnalnya bertajuk The Discovery of Nipah Virus: A Personal Account yang disiarkan di Neurologi Asia pada 2004, Kaw Bing menjelaskan, beliau terlibat secara rasmi dalam penyiasatan virus itu pada 27 Februari 1999 ketika seorang peladang di Bukit Pelandok dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) setelah mengalami akut encephalitis.

"Selepas penyelidikan dilakukan melalui cecair pada pesakit iaitu tiga hari selepas pesakit itu dimasukkan ke PPUM, saya mengesan virus yang luar biasa dan saya percaya itu bukan Japanese Encephalitis (JE),” katanya.

Katanya, di sinilah permulaannya selepas beliau menyedari bahawa di hadapannya itu adalah virus baharu di dunia yang mampu membunuh sesiapa sahaja termasuklah di dalam makmal berkenaan.

Keluang dan kelawar dikatakan antara pembawa virus Nipah.

Gentar dengan penemuan itu, beliau menghubungi ketua jabatannya bagi memaklumkan penemuan tersebut, namun jawapan yang diterimanya agak menyedihkan.

"Sewaktu saya dengan yakin dan teruja ketika mengesan satu virus baharu di bawah mikroskop, saya terus menunjukkan penemuan itu kepada ketua.

"Tetapi beliau melihat di bawah mikroskop, berpaling kepada saya dan memberitahu kebanyakannya adalah sejenis kontaminasi. Dia memberitahu saya untuk mengabaikannya dan membuangnya.

"Pada waktu itu, saya terkejut dan tidak percaya apa yang saya dengar. Saya kecewa tetapi tidak berani untuk mencabarnya,” katanya yang mengakui situasinya ketika itu hanya seorang pelajar PhD.

Rungkai virus Nipah

Bagaimanapun di luar makmalnya, semakin hari semakin ramai pesakit dimasukkan ke Hospital Seremban (kini dikenali Hospital Tuanku Jaafar) dan paten ujikaji daripada pesakit berkenaan sama dengan pesakit yang ditempatkan di PPUM.

"Saya dengan pantas memberitahu ketua tentang penemuan itu. Tapi saya kecewa lagi apabila beliau tidak mahu untuk melihatnya dan memberikan isyarat supaya saya mengabaikannya,” kata Kaw Bing yang semakin yakin bahawa virus ditemuinya adalah 'pembunuh misteri' yang menghantui rakyat Malaysia.

Disebabkan itu, Kaw Bing nekad bertindak membelakangi arahan ketuanya dan terus menyimpan hasil penemuannya itu.

Dalam tempoh itu katanya, ia satu cabaran baharu buat dirinya bagi meyakinkan rakan sekerja yang lain berhubung penemuan berkenaan.

"Satu-satunya orang yang percaya kepada saya ialah juruteknik makmal, PS Hooi. Saya begitu terdesak untuk meyakinkan rakan-rakan lain dan meminta mereka melihat pada kesan sitopatik (kerosakan kepada sel manusia semasa pencerobohan virus) itu. Saya juga menunjukkannya pada Profesor Tan, Dr Winnie dan Dr Sazaly Abu Bakar,” katanya.

Kitaran penularan virus nipah daripada kelawar yang memakan buah, buah yang jatuh dimakan khinzir sebelum virus dipindahkan kepada manusia.

Kemudiannya beliau berkata, berdasarkan sampel pesakit dari Bukit Pelandok dan Ipoh dipindahkan ke Hospital Tawakal di Kuala Lumpur, Kaw Bing mendapati sesuatu yang menggemparkan di bawah pemerhatian kanta mikroskop.

"Berdiri bulu roma saya melihat nyalaan hijau terang. Terang seakan-akan lampu,” katanya.

Beliau sekali lagi memanggil ketuanya yang pada ketika itu berada di rumah.

"Saya masih ingat dengan jelas. Beliau tiba di makmal pada jam 7 malam dan selepas melihat melalui UV-mikroskop, mukanya berubah dan terus berkata Chua, mengapa alam semula jadi tidak berterus terang,” imbau Kaw Bing.

Selepas itu katanya, penemuan tersebut dipanjangkan kepada Menteri Kesihatan dan Institut Penyelidikan Veterinar pada 9 Mac 1999 memandangkan selama berbulan-bulan, Malaysia mengambil langkah-langkah kawalan yang salah dalam menangani kematian misteri tersebut.

Kerajaan, agensi kesihatan dan pihak berkuasa sebelum itu percaya, kematian misteri yang berlaku adalah berpunca daripada penyakit JE yang dibawa nyamuk. Tidak hairanlah, semburan kabus dibuat hampir setiap hari di lokasi-lokasi panas untuk membunuh nyamuk gagal menghentikan kematian misteri terutamanya di kawasan Sungai Nipah dan Bukit Pelandok.

Hanya selepas penemuan virus Nipah oleh Kaw Beng, kerajaan mengarahkan lebih sejuta ternakan khinzir dimatikan di Sungai Nipah dan Bukit Pelandok. - Sumber AP

Lantaran itu, Kaw Bing menggesa ketuanya mendapatkan bantuan antarabangsa untuk mendalami dengan lebih lanjut virus berkenaan pada kadar secepat mungkin.

Bukan daripada nyamuk tapi khinzir

Malah, keesokan harinya, beliau dengan bantuan Menteri Kesihatan pada ketika itu memperoleh visa dan terbang ke Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, sebaik tiba di negara Uncle Sam, Kaw Bing bersama saintis di Pusat Kawalan Penyakit dan Pencegahan (CDC) di Fort Collins, Colorado perlu mengambil masa beberapa hari lagi untuk merungkai virus berkenaan.

"Pada masa itu, rasa ketakutan menyelubungi diri. Oh my God! Ia adalah paramiksovirus. Mengikut pengetahuan saya pada waktu itu, paramiksovirus tersebar melalui hubungan rapat dan titisan.

"Tidak hairanlah semua langkah kawalan JE secara intensif yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan gagal. Saya merasa sangat bersalah terhadap nasib petani ladang khinzir yang miskin dan pekerja yang diberikan vaksin JE.

"Mereka diberitahu mereka dilindungi dan dihantar semula ke ladang, tetapi terus dijangkiti dan mati,” katanya.

Virus itu datang daripada binatang ternakan, bukannya nyamuk dan virus tersebut sering menjangkiti paru-paru serta merebak dengan cepat melalui udara.

Sebaik menyedari betapa bahayanya virus itu, Kaw Bing terus menghubungi ketuanya bagi memaklumkan penemuan tersebut.

"Profesor Lam, Chua di sini. Saya buat panggilan dari CDC. Tolong dengar dengan teliti. Di bawah elektron mikroskop, virus ini adalah paramiksovirus.

"Demi tuhan, jangan berkata tentang JE lagi. Saya sangat pasti bahawa ia paramiksovirus yang baharu.

Lokasi Bukit Pelandok dan Sungai Nipah yang pernah menjadi kampung 'hantu' selepas penduduknya melarikan diri ekoran puluhan kematian misteri.

"Langkah-langkah pencegahan paramiksovirus adalah berbeza dengan JE. Saya mahu Profesor Lam maklumkan kepada Menteri Kesihatan supaya tindakan segera dapat diambil,” katanya seperti yang direkodkan dalam jurnal berkenaan.

Satu perkara yang menguatkan lagi dakwaan Kaw Bing, tiada satu pun dalam kalangan pesakit virus Nipah yang mati datang daripada orang Melayu sebaliknya hanya kaum Cina.

Bertitik tolak daripada itu, kerajaan mengambil langkah drastik dengan menggerakkan angkatan tentera dan penguat kuasa lain ke Sungai Nipah dan Bukit Pelandok.

Kubur gergasi digali dan khinzir-khinzir yang berada di Kampung Sungai Nipah ditembak sebelum dikambus.

Sejuta ekor khinzir dihapuskan dan ternyata tindakan itu akhirnya membuahkan hasil.

Kampung Sungai Nipah.

Di atas sumbangannya itu, Kaw Bing dan rakan-rakannya menerima Anugerah Merdeka dan Anugerah Sains Mahathir di atas usaha menemui virus Nipah.

Selain virus Nipah, Kaw Bing juga merupakan individu yang menemui virus Kampar pada 2006.

Virus Nipah difilemkan

Selepas berakhirnya penularan wabak Virus Nipah di Malaysia, virus yang sama turut dikesan di Bangladesh dan kawasan kejiranan India dua tahun kemudian.

Virus Nipah menular di Bangladesh bermula 31 Januari 2001 sehingga Januari 2005.

Sepanjang tempoh itu, hampir 100 kematian direkodkan di Bangladesh dan berdasarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tiada vaksin mampu untuk melawan virus Nipah.

Pada tahun 2011, tiga syarikat perfileman iaitu Participant Media, Imagenation Abu Dhabi, Double Feature Films menerbitkan filem Contagion yang diadaptasi daripada kisah penularan virus Nipah serta beberapa virus lain seperti Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) dan H1N1.

Filem yang diarahkan Steven Soderbergh itu menampilkan pelakon terkenal seperti Marion Cotillard, Bryan Cranston, Matt Damon, Laurence Fishburne, Jude Law, Gwyneth Paltrow, Kate Winslet dan Jennifer Ehle.

Contagion yang ditayangkan pada bulan September itu menelan bajet AS$60 juta (RM245 juta) dan meraih kutipan pecah panggung mencecah A2S$135.5 juta (RM553 juta).

Filem Contagion yang mengambil inspirasi daripada kisah wabak virus Nipah.