Pesawah terjejas, tidak dapat tanam padi akibat masalah air

Iklan
Kawasan padi yang kini ditumbuhi semak samun kerana petani tidak dapat menanam padi

KOTA BHARU - Sebanyak 25 peratus atau 1,750 daripada lebih 7,000 pesawah di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) yang dapat menanam padi pada musim pertama tahun ini berikutan masalah air yang belum selesai.

Pengerusi Persatuan Pesawah Kelantan (Pesak), Zuha Ismail berkata, faktor utama ialah membabitkan pam air Kemubu yang sudah empat tahun pecah dan tidak dapat berfungsi dengan baik selain isu baja.

Zuha

Iklan
Iklan

Menurut beliau, dianggarkan 9,000 hektar dapat ditanam padi iaitu di beberapa kawasan berdekatan sungai termasuk sekitar daerah Pasir Mas dan Pasir Puteh.

"Akibat masalah itu pesawah yang hanya mengharapkan pendapatan hasil padi terkesan kerana memikirkan beban hutang bank dan perbelanjaan keluarga," katanya.

Iklan

Beliau berkata, ramai di antara mereka terpaksa melakukan pekerjaan lain termasuk kerja-kerja kampung untuk menampung keperluan keluarga.

Dalam pada itu beliau turut memberitahu, ada petani yang terpaksa membeli baja sendiri apabila KADA menghentikan pemberian baja subsidi dengan alasan berlaku kelewatan proses menanam bagi musim pertama.

Iklan

Sementara itu, pesawah, Muhammad Nuraisar Mat Yajid, 37, yang menanam padi di kawasan Selising, Pasir Puteh terpaksa menjual traktor dan mesin padi untuk menampung pembayaran hutang musim sebelum itu.

Bapa kepada enam anak berusia antara setahun setengah hingga 12 tahun mengusahakan sebanyak 32 hektar sawah turut hilang pendapatan kerana masalah itu.

"Saya mencadangkan pihak berkaitan duduk semeja dan berbincang bersama mengenai masalah kami yang sudah tidak mampu lagi menghasilkan padi," katanya.

Muhammad Nuraisar yang kehilangan pendapatan kasar kira-kira RM240,000 semusim kini hanya bekerja buruh selain menanam tanaman kontan untuk menghasilkan pendapatan harian.

Pesawah dari Kampung Kuala Tembesu, Pasir Puteh, Mohamad Fadzli Mamatt, 46, pula terpaksa mencari etak di Manir, Kuala Terengganu selepas tidak lagi menanam padi untuk musim pertama bermula Mei lalu.

Mohamad Fadzli yang sebelum ini mengusahakan tanaman padi seluas 8.8 hektar berharap masalah benteng di Kemubu dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

"Padi sangat memerlukan air daripada proses menabur benih sehingga tuaian," katanya.