KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa memberi jaminan bahawa Kuala Lumpur masih selamat.
Kenyataan itu disuarakan susulan kebimbangan orang ramai terhadap keselamatan bandar itu terutamanya selepas berlaku kes mendapan tanah yang diburukkan lagi dengan situasi hujan lebat sejak beberapa hari lalu.
Beliau bagaimanapun menasihati orang ramai agar berhati-hati, terutamanya di kawasan berhampiran lokasi mendapan tanah.
"Insya-ALLAH, KL masih selamat. Tapi macam saya cakap sebelum ini, kita perlu lebih berhati-hati di kawasan yang mana ada mendapan tanah seperti di Masjid India.
"Kawasan itu, PDRM pun ambil langkah untuk jaga kawasan itu. Kita tak benarkan orang awam masuk ke kawasan itu.
"Tapi kawasan lain, insya-ALLAH. Setakat ini, ia masih selamat,” katanya.
Beliau dalam pada itu menegaskan keperluan untuk melakukan ujian ketahanan terhadap pembetung yang ada di sekitar Kuala Lumpur.
Jelasnya, kebanyakan pembetung sudah usang memandangkan pembangunan di ibu kota kini telah berusia lebih 30 tahun.
"Setakat yang kita tahu, kebanyakan pembangunan yang ada di KL, dah lebih daripada 30 tahun. Memang kita perlu melakukan integrity test untuk semua sistem saliran di KL.
"Kita akan bekerjasama dengan Petra (Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air), IWK (Indah Water Konsortium) dan jabatan yang bertanggungjawab,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa melawat lokasi mendapan tanah di Kampung Kerinchi pada Rabu yang turut dihadiri Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil. - Awani