SABAH FA memulakan kempen peringkat kelayakan Liga Juara-Juara Wanita Asia (AWCL) dengan mencatatkan keputusan seri tanpa jaringan menentang APF FC dari Nepal pada perlawanan Kumpulan C di Stadium Likas, Kota Kinabalu malam ini.
Bermula babak pertama permainan kedua-dua pasukan agak seimbang dan masing-masing cuba mengatur serangan namun gagal menghasilkan gol.
Iklan
Iklan
Pada minit ke-11 pasukan APF FC hampir mendapat jaringan pertama hasil rembatan kencang penyerangnya Preeti Rai dari luar kotak penalti namun bola terkena palang walaupun sudah berjaya menewaskan penjaga gol Sabah FA Nurul Azurin Mazlan.
Bermula babak kedua pasukan tuan rumah kendalian Justin Ganai bermain dengan lebih baik dan beberapa kali menghasilkan percubaan berbahaya namun gagal membolosi penjaga gol APF FC Anjila Tumbapo Subba.
Pada minit ke-74 sekali lagi palang gol menjadi penyelamat pasukan Sabah FA dengan rembatan kencang penyerang gantian APF FC Amisha Karki di dalam kotak penalti dan keputusan tanpa jaringan kekal sehingga tamat permainan.
Perlawanan terakhir Kumpulan C pada Sabtu ini menyaksikan tuan rumah Sabah FA menentang PFC Nasaf dari Uzbekistan.
Pada perlawanan pertama Isnin lepas, PFC Nasaf yang kini mendahului kumpulan itu menewaskan APF FC dengan jaringan 1-0.