Pengajaran tragedi lubang benam misteri di Masjid India

Iklan
Insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India.

PADA mulanya Merak Jalanan sangkakan insiden lubang benam di Jalan Masjid India cuma kemalangan biasa.

Rupa-rupanya makin hari makin rumit seperti satu misteri.

Iklan
Iklan

Sudah masuk hari keenam namun mangsa belum dijumpai.

Merak Jalanan khuatir, lebih lama kes ini, lebih banyak implikasinya kepada ekonomi selain banyak sumber kerajaan digunakan.

Iklan

Siapa sangka insiden ini akan berlaku kepada pelancong dari India ketika Malaysia giat mempromosikan pelancongan negara.

Sejak pengecualian visa selama 30 hari diberikan Disember lalu, boleh dikatakan ‘berduyun-duyun’ orang dari India datang ke Malaysia.

Iklan

Pada April 2024, kedatangan pelancongan India meningkat 80 peratus berbanding tempoh sama pada 2023. Tourism Malaysia juga sasar sejuta pelancong India hingga hujung tahun ini.

Merak Jalanan harap rakyat India tidak batalkan hasrat datang ke Malaysia walaupun berita mengenainya telah tersebar di negara itu.

Kehadiran pelancong asing ini penting kepada ekonomi kita.

Mereka bukan melancong dua hari tiga malam atau dua minggu, tetapi sampai dua bulan.

Bayangkan berapa banyak wang yang mereka belanjakan kepada peniaga-peniaga kita.

Jalan Masjid India sememangnya terkenal dalam kalangan pelancong dan warga tempatan.

Di situ juga ada Masjid India yang sudah berusia 160 tahun. Pendek kata, orang tidak putus-putus datang ke situ.

Merak Jalanan tak dapat bayangkan jika lubang benam terjadi pada masa puncak khususnya menjelang hari raya.

Merak Jalanan juga masih ingat bagaimana sebuah kereta Perodua Myvi warna kuning terbenam secara menjunam di Jalan Maharajalela pada 2019.

Jika pihak berkuasa tidak bertindak segera, Merak Jalanan bimbang insiden lebih buruk bakal terjadi.

Merak Jalanan harap insiden terbaharu ini akan jadi satu pengajaran besar kepada kita.