KECOH di aplikasi X baru-baru ini apabila ada individu menyelar tindakan sesetengah rakyat Malaysia yang sesuka hati datang ke unit kecemasan dan trauma (URK) di hospital kerajaan walaupun hanya mengalami demam serta penyakit tidak serius.
Perkara itu menimbulkan perdebatan dalam kalangan doktor dan netizen apabila mereka cuba memberikan hujah masing-masing.
Walaupun teguran individu tersebut dianggap ‘angkuh’ namun ada kebenarannya juga.
Menurut senarai kes kecemasan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), hanya mereka yang mengalami kemalangan, kecederaan kepala sehingga mengakibatkan muntah, pendarahan hidung, melecur kebakaran, serangan jantung, patah atau terkehel tulang dibenarkan datang ke URK.
Kes yang diklasifikasi sebagai bukan kecemasan pula termasuklah batuk dan selesema biasa, mata merah, ruam, luka dan lebam, sakit perut ringan, menyambung ubat yang habis dan memohon cuti sakit.
KKM sebelum ini pernah memaklumkan bahawa kes yang bukan kecemasan tidak sepatutnya dirujuk ke URK, sebaliknya dirujuk ke klinik biasa pada waktu pejabat.
Menurutnya, jika orang ramai yang tidak mempunyai penyakit kronik datang ke URK, ia akan mengganggu kelancaran sebenar unit kecemasan itu sendiri.
Sebenarnya ramai masyarakat di luar sana kadangkala keliru dengan fungsi URK dan klinik kesihatan.
Ada juga yang beranggapan URK boleh dikunjungi pada bila-bila masa jika sakit dengan harapan dapat bertemu doktor pakar.
Perkara itu tidak semudah yang disangka kerana sebelum bertemu doktor pakar mereka dikehendaki menjalani beberapa ujian bagi memastikan sama ada penyakit mereka berada pada tahap biasa atau kronik.
Pengalaman penulis menghantar ahli keluarga yang mengalami serangan jantung secara mengejut pada jam 2 pagi mendapati doktor yang bertugas hanya fokus menyelesaikan kes kecemasan.
Berdasarkan pemerhatian, doktor yang bertugas tidak ramai, namun mereka sedaya upaya membantu pesakit sehabis baik.
Melihat keadaan itu, penulis merasakan kakitangan KKM memberikan perkhidmatan yang terbaik walaupun mereka kekurangan staf.
Masalah kekurangan staf kesihatan menyebabkan sesetengah pegawai perubatan berasa letih dan penat sehingga menjatuhkan motivasi diri mereka.
Keadaan tersebut sudah tentu akan mengganggu produktiviti dan kualiti kerja walaupun mereka mahu memberikan perkhidmatan terbaik.
Justeru, KKM perlu mendengar pendapat dan desakan daripada pegawai perubatan sedia ada yang masih mempunyai hati nurani untuk berkhidmat dengan kerajaan.
Kekurangan doktor dan pegawai perubatan memang antara isu yang menyebabkan orang ramai datang ke URK kerana klinik kesihatan di sesetengah kawasan lambat memberikan rawatan.
Dalam keadaan ekonomi yang serba mencabar pada hari ini bukan semua orang mempunyai kemampuan mendapatkan khidmat rawatan di premis swasta.
Dalam hal ini, pihak KKM wajar menambah bilangan doktor dan kakitangan mereka bagi memastikan rakyat mendapat akses kesihatan yang baik.
Kajian baharu juga perlu dilakukan bagi menyemak semula keperluan sebenar negara terhadap sumber manusia untuk kesihatan. Kita tidak mahu sistem kesihatan lumpuh apabila jumlah kakitangan tidak ditambah.
Dalam pada itu, rancangan mewujudkan klinik kesihatan yang beroperasi selama 24 jam sehari membolehkan lebih ramai pesakit mendapatkan rawatan. Perkara tersebut membantu pesakit terutama mereka yang kurang berkemampuan.
Kerajaan tidak diragukan lagi perlu melakukan reformasi dalam bidang kesihatan secara menyeluruh.
Jika Malaysia bercita-cita menjadi negara maju dan menjaga kebajikan rakyat, maka kerajaan mesti memastikan industri kesihatan berada pada tahap terbaik setaraf negara maju.
* Farhana Abd Kadir ialah wartawan Sinar Harian