Fendy si pendandan ikan Arowana

Iklan
Proses dandanan sedang dilakukan ke atas Arowana yang ditidurkan.

SHAH ALAM - Mendandan binatang peliharaan seperti kucing, anjing, ayam atau arnab itu biasa, tetapi bagaimana jika binatang yang hendak didandan adalah seekor ikan?

Bermula dengan merawat ikan Arowana peliharaan sendiri yang mengalami insang bengkak, hobi itu kini berubah menjadi bisnes kecil-kecilan seorang pekerja kilang.

Iklan
Iklan

Wan Muhammad Afendy bin Wan Daud, 31, yang sebelum ini berkongsi pengalamannya ‘mendandan’ ikan sama sekali tidak menyangka video yang dimuat naik ke laman TikTok itu mendapat sambutan.

Video berdurasi 39 saat yang memaparkan aktiviti dandanan ke atas seekor ikan Arowana berwarna emas kebiruan mencuri tumpuan apabila posting berkenaan kini sudah ditonton sebanyak 4.4 juta kali.

Iklan
Koleksi ikan Arowana milik Fendy.

"Saya hanya belajar merawat ikan melalui YouTube dan mereka yang berpengalaman. Pada mulanya memang takut sebab harga ikan ini mencecah ribuan ringgit memang risiko kalau tersilap langkah.

"Namun atas desakan ramai, saya cuba juga dan tak sangka sekarang saya dah jadi mahir untuk menjadi pendandan ikan Arowana,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Iklan
Proses merapikan ekor ikan Arowana yang putus dan insang berlipat.

Anak kelahiran Kota Bharu itu berkata, sebelum melakukan dandanan, ikan harus ditidurkan terlebih dahulu.

"Kena suntik ubat bius dan air yang digunakan juga perlu mengandungi bius dan dalam tempoh itu kita boleh mulakan rawatan untuk membuang sisik yang diserang fungus menggunakan pengetip.

Selain itu, dia juga boleh membetulkan kembali mulut ikan yang rahang bawahnya lebih panjang dari atas serta membuang lemak yang menjadi punca mata ikan terjatuh.

Fendy sedang melakukan proses menyedarkan seekor ikan Arowana selepas proses dandanan dan rawatan selesai.

"Semua ini memerlukan ketelitian yang amat tinggi kerana jika tersilap langkah boleh menyebabkan ikan menjadi buta atau mati,” katanya yang mesra dengan panggilan Fendy.

Tambahnya, tempahan pakej untuk melakukan dandanan ikan Arowana hanya akan dilakukan pada hari Ahad.

"Saya akan datang ke rumah pelanggan dan lazimnya bayaran dikenakan bermula RM50 hingga ke RM300 tidak termasuk bayaran mengikut jarak perjalanan,” katanya.

Muhammad Afendy berkata, sehingga kini dia sudah berjaya merawat puluhan ekor ikan Arowana dan menerima tempahan daripada individu dan pemilik kedai menjual binatang peliharaan.