'Sudahlah tiada lesen memandu, buat pula aksi samseng jalanan'

Iklan
Tiga penunggang motosikal ditahan selepas dikesan melakukan aksi samseng jalanan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban pada Khamis.

KAJANG - Tiga penunggang motosikal yang melakukan aksi 'Superman' di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban di sini, ketika pulang daripada menjamu selera di Seremban, Negeri Sembilan, menjerat diri selepas ditahan polis pada Khamis.

Tangkapan kira-kira jam 2.10 pagi dibuat sepasukan Unit Risikan/Operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman.

Iklan
Iklan

Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, tiga lelaki yang tidak memiliki lesen memandu itu berusia lingkungan 20 hingga 32 tahun.

Menurutnya, tiga motosikal jenis Yamaha Y15ZR, Yamaha Y16ZR dan Honda RSX yang digunakan penunggang terbabit turut disita.

Iklan

"Ketiga-tiga penunggang ini dikesan melakukan aksi berbahaya iaitu 'superman' dan bersaing sesama sendiri," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Beliau berkata, pihaknya turut mengeluarkan 27 saman atas pelbagai kesalahan.

Iklan

Katanya, kesemua yang ditahan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk tindakan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jelasnya, objektif utama operasi ini bagi membendung dan membanteras kegiatan samseng jalanan selain mengurangkan risiko kemalangan jalan raya.

"JSPT tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan samseng jalanan dan operasi akan terus dilaksanakan agar keselamatan serta ketenteraman awam dipelihara," ujarnya.