Tanah jerlus: Operasi SAR genap seminggu hari ini

Iklan
Petugas Indah Water dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menggunakan jentera mesin jetter atau jet pembetung berkuasa tinggi bagi memecah sisa batuan yang terdapat di lokasi kejadian dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga India yang hilang dalam insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Operasi bagi mencari wanita warga India yang hilang dalam insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India di sini Jumaat lepas, memasuki hari ketujuh hari ini.

Tinjauan Bernama di lokasi pada jam 9 pagi mendapati pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) terdiri daripada Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Angkatan Pertahanan Awam, sudah bersiap siaga di lokasi kejadian untuk meneruskan operasi.

Iklan
Iklan

Difahamkan, operasi SAR hari ini untuk mencari mangsa insiden tanah jerlus itu akan tetap menumpukan sekitar lokasi utama kejadian di Jalan Masjid India.

Tinjauan juga mendapati bilangan premis perniagaan sekitar lokasi yang beroperasi kian berkurang, atas faktor garisan kuning polis dipanjangkan menutupi sepanjang Jalan Masjid India bagi menjaga keselamatan awam.

Iklan

Pada 23 Ogos, seorang wanita warga India dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter susulan insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India semasa melalui jalan itu untuk ke kuil berhampiran.

Operasi SAR diaktifkan pada hari sama melibatkan anggota daripada pelbagai pasukan keselamatan dan pihak berkuasa tempatan yang telah menggunakan pelbagai teknik termasuk penggunaan unit anjing pengesan (K9) dan kaedah jetting.

Iklan

Sementara itu, pasukan SAR di Loji Indah Water Konsortium (IWK) Pantai Dalam di sini, yang terdiri daripada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) serta petugas IWK tiba pada 8.50 pagi.

Sejurus tiba, mereka dilihat mengadakan perbincangan dan menyusun strategi sebelum memulakan operasi.

Tinjauan Bernama mendapati terdapat sebuah jentera FRT dan van JBPM serta kira-kira 12 anggota bomba yang sedang bersiap untuk memulakan operasi hari ini.

Pasukan SAR sebelum ini telah turun ke tangki IWK sebanyak dua kali iaitu pada Ahad dan Isnin, namun tidak menemukan sebarang petunjuk positif keberadaan mangsa.

Selain itu, pencarian juga menggunakan teknik carian di permukaan yang dilakukan selama sejam, dua hari lepas, namun masih tidak menemui sebarang petunjuk baharu. - Bernama