JOHOR BAHRU - Orang ramai diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden kematian Allahyarham Laskar Kelas (LK) I PLM Arman San Hermansa, yang meninggal dunia dalam operasi salvaj KD Pendekar di perairan Tanjung Penyusop semalam.
Isteri Allahyarham menerusi hantaran di Facebook menggunakan nama akaun ‘Hanaa Ariana’ berkata, ini kerana kejadian itu masih dalam siasatan pihak berwajib.
"Justeru, insiden ini juga masih dalam siasatan, biarlah hanya pihak atasan dan juga kru yang bertugas pada masa itu yang mengetahui punca insiden dan sebagainya,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap tidak ada pihak yang mengeluarkan spekulasi tidak benar dan tidak sahih mengenai insiden tersebut dan memahami keadaan yang dihadapinya ketika ini.
TLDM dalam kenyataan semalam memaklumkan jenazah Allahyarham Arman San yang berkhidmat sebagai Penyelam Ranjau pasukan itu dari Markas Selam dan Peperangan Periuk Api (MSPPA), berada di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini untuk proses bedah siasat dan akan dibawa ke Lahad Datu, Sabah untuk pengebumian.
KD Pendekar tenggelam semasa pelayaran operasi di perairan Tanjung Penyusop selepas mengalami kebocoran dipecayai akibat terlanggar objek bawah air pada 25 Ogos.
Bagaimanapun, usaha pantas komuniti maritim berjaya menyelamatkan kesemua 39 kru KD Pendekar sebelum kapal itu ditenggelami air sepenuhnya.
Mohamed Khaled ucap takziah kepada keluarga Allahyarham
Sementara itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Arman San.
"Menerima satu khabar duka tentang pemergian seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam satu operasi salvaj. Salam takziah saya ucapkan buat seluruh keluarga Allahyarham LK I PLM Arman San Hermansa.
"Sama-sama kita doakan agar Allahyarham ditempatkan bersama golongan yang beriman," katanya di laman X pada Khamis. - Bernama