GM Klang kenang jasa wira tidak didendang

Iklan
Serahan Bakul Merdeka Jaga daripada wakil GM Klang kepada dua pengawal keselamatan di SJKC Chung Hua.
Tanggal 31 Ogos merupakan tarikh keramat yang diraikan dengan penuh meriah oleh rakyat Malaysia kerana ia menandakan merdekanya Tanah Melayu.

Stadium Merdeka menjadi saksi laungan kemerdekaan oleh Perdana Menteri pertama,Tuanku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada tanggal 31 Ogos 1957.

Setelah 67 tahun melayari kemenangan, pelbagai anggapan mengenai erti kemerdekaan dilafazkan oleh segenap lapisan masyarakat dan kesemuanya harus dirai dengan adil dan hati terbuka.

Sempena Hari Kemerdekaan yang disambut pada 31 Ogos, Pusat Borong GM Klang tampil berbeza membangkitkan semangat patriotisme dalam kalangan warga kerjanya.

Jika sebelum ini merdeka amat sinonim dengan jasa pasukan keselamatan seperti polis, tentera dan sebagainya, kali ini pusat borong itu tampil menghargai pengorbanan serta peranan pengawal keselamatan di sekolah menerusi inisiatif Bakul Merdeka Jaga.

Serahan Bakul Merdeka Jaga daripada wakil GM Klang kepada dua pengawal keselamatan di SK Telok Pulai.
Iklan
Iklan
Iklan
Iklan


Program julung kali diadakan dengan kerjasama Sinar Harian itu melibatkan empat buah sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah dalam daerah Klang, Selangor dan Kuala Lumpur.

Eksekutif Komunikasi Jenama GM Klang, Nurhani Yasmeen Mohd Zainan berkata, tahun ini pihaknya mahu menampilkan kelainan dengan menghargai jasa golongan berkenaan, terutama yang bertugas di kawasan sekolah dalam memastikan keselamatan murid-murid ketika sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) berlangsung.

"Kami mahu mengiktiraf kepentingan serta peranan pengawal keselamatan yang sentiasa berjiwa besar ketika bertugas demi memastikan keselamatan, ketenteraman guru dan murid-murid.

"Dengan bantuan Bakul Merdeka Jaga, kami berharap sedikit sebanyak dapat bantu meringankan beban serta memenuhi keperluan harian mereka sekeluarga dengan cara paling berkesan dan praktikal,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Nurhani Yasmeen, Hari Kemerdekaan adalah masa yang sesuai untuk menghargai sumbangan golongan tersebut dengan mengambil kira keamanan dan kesejahteraan merupakan asas kepada kemajuan negara.

Beliau memaklumkan, inisiatif ini turut menjadi sebahagian daripada komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) GM Klang untuk menyokong dan menghargai barisan hadapan yang menyumbang kepada komuniti.

"Diharapkan sumbangan ini dapat memberi kesan positif kepada pengawal keselamatan dengan meningkatkan rasa penghargaan dan terima kasih terhadap kerja keras mereka.

Serahan Bakul Merdeka Jaga daripada wakil GM Klang kepada empat pengawal keselamatan di SK Jalan Kebun.


"Semoga ia dapat meningkatkan semangat dan motivasi untuk terus menjalankan tugas dengan penuh dedikasi. Apabila jasa dihargai, ia akan memupuk semangat kebersamaan serta komitmen yang lebih kuat dalam menjaga keselamatan sekolah,” ujar Nurhani Yasmeen.

Semangat patriotisme

Mengulas lanjut mengenai program itu, Nurhani Yasmeen menjelaskan, inisiatif kali pertama bersama jenama akhbar Sinar Harian mampu menjadi pendorong untuk membangkitkan semangat patriotisme dan rasa bangga dalam kalangan pengawal keselamatan.

"Ia dilihat dapat mengeratkan hubungan antara pengawal keselamatan dan komuniti sekolah dalam membina semangat kerjasama serta perpaduan yang lebih erat.

"Mereka adalah hero atau barisan hadapan yang turut berperanan dalam mencipta suasana tenteram dan kondusif kepada semua.

"Kami juga ingin menunjukkan bahawa setiap peranan, tidak kira besar atau kecil amat penting dalam membentuk komuniti yang harmoni, sekali gus terus maju,” ujarnya.

Beliau berkata, setiap Bakul Merdeka Jaga mengandungi barangan keperluan asas seperti makanan, minuman, barangan runcit seperti beras, minyak masak, barang mandian dan lain-lain lagi.

Inisiatif berkenaan melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Pulai, SK Jalan Kebun, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Kota Kemuning, SK Bandar Tun Razak dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Tun Razak.

K MAHALETCHUMY


Sumbangan tanda penghargaan, tingkat sifat patriotik Bagi K Mahaletchumy, inisatif GM Klang menyantuni kalangan pengawal keselamatan di sekolah mampu memberi cetusan idea kepada syarikat swasta lain untuk bersama-sama menyemarakkan rasa patriotik sempena sambutan kemerdekaan.

Pengawal keselamatan di SK Telok Pulai itu mengakui, ia merupakan pengalaman pertamanya menerima sumbangan kelengkapan harian daripada syarikat swasta.

"Saya bertugas di sekolah hampir 14 tahun dan kali pertama menerima satu bakul yang penuh dengan barangan kepertuan harian.

"Terima Kasih GM Klang kerana mengiktiraf khidmat kami kepada komuniti setempat,” katanya.

NOOR ANISAH


Sementara itu rakannya, Noor Anisah Paniman berkata, tiada perkara yang lebih bermakna apabila ada pihak yang menghargai peranan mereka dalam menjaga keselamatan terutama murid-murid dan guru sekolah.

Meskipun tugas sebagai pengawal keselamatan sekolah di pandang enteng oleh segelintir pihak, wanita itu menegaskan, ia tidak melunturkan semangatnya untuk memberi khidmat terbaik kepada komuniti setempat.

"Keselamatan anak-anak di sekolah tetap menjadi keutamaan saya dan apabila peranan itu dihargai, saya semakin bersemangat untuk beri yang terbaik dalam tugas."Saya juga berharap agar inisiatif GM Klang dapat diteruskan pada masa akan datang,” ujarnya.

Kasih sayang zahirkan makna merdeka

Bagi seorang pengawal keselamatan yang dikenali Rohani berpandangan merdeka bererti negara bebas dari penjajah, tidak perlu lagi bergantung kepada orang luar dan berdiri di atas kaki sendiri.

Namun sebagai seorang yang bertanggungjawab terhadap keselamatan warga Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Tun Razak (2), wanita itu bertekad memastikan amanah itu dilaksanakan dengan sempurna.

"Sebagai pengawal keselamatan saya perlu menjaga murid-murid, guru dan paling penting harta sekolah,” katanya

ketika ditemui pada program penyerahan Bakul Merdeka Jaga oleh GM Klang dan Sinar Harian baru-baru ini.

Bagi Isam pula, erti kemerdekaan baginya adalah dengan menunjukkan kasih sayang tidak berbelah bahagi kepada semua golongan warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Tun Razak.

Pengawal keselamatan itu berkata, selain negara bebas daripada cengkaman penjajah, merdeka turut mengajarnya erti menyantuni dengan penuh hemat setiap individu di sekelilingnya.

"Saya menunjukkan kasih sayang dengan cara menyantuni murid-murid di sekolah seperti anak sendiri dan saya gembira lalukannya," ujarnya.