ADUN Jeram tawar diri tanding Ketua Bahagian Bersatu Kuala Selangor

Iklan
Harrison (tengah) bersama kakitangannya selepas Perasmian Bilik Gerakan DUN Jeram di Sungai Sembilang di sini pada Khamis.

SHAH ALAM - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Datuk Harrison Hassan menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Kuala Selangor, Oktober depan.

Harrison berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapat pandangan daripada semua pihak terutama jawatankuasa Bersatu bahagian berkenaan.

Iklan
Iklan

"Saya membuat keputusan ini dengan niat untuk membantu parti memperkemaskan cawangan di peringkat akar umbi dan hala tuju masa depan parti khususnya di Bahagian Kuala Selangor," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Perasmian Bilik Gerakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram di Sungai Sembilang di sini pada Khamis.

Iklan

Harrison berkata, usaha itu diharapkan dapat memperkuatkan lagi Bersatu dan seterusnya menjadi pilihan serta mendapat sokongan rakyat.

"Sejak menjadi ADUN (Jeram) setahun lalu, saya telah banyak bersama jawatankuasa Bersatu bahagian ini untuk sama-sama berjumpa dengan masyarakat dan meneruskan perjuangan parti," ujar beliau.

Iklan

Selain itu, katanya, sekiranya diberikan mandat, beliau menyasarkan membuka sekurang-kurangnya 30 cawangan Bersatu bahagian berkenaan.

Jelas beliau, pada masa ini hanya terdapat 17 cawangan Bersatu di bahagian itu dan jumlahnya masih dianggap kecil.

"Rakyat di Kuala Selangor harus tahu dan yakin bahawa parti ini ini wujud dan mungkin ada berpandangan Bersatu tidak mantap berbanding parti lain yang telah wujud 60 hingga 70 tahun sebelum ini.

"Sedangkan Bersatu tidak sampai 10 tahun penubuhannya, tetapi saya mengambil pendekatan sesuatu perlu dibuat untuk memastikan 10 hingga 30 tahun akan datang parti ini terus relevan, kuat dan mantap sama seperti parti lain," jelas beliau.

Ditanya mengenai terdapat pertandingan bagi pemilihan jawatan itu, Harrison berkata, beliau tidak menolak kemungkinan itu kerana ia merupakan proses demokrasi.

"Pada masa ini, saya tidak dapat mengesahkan ada pertandingan atau pun tidak kerana borang pemilihan ini hanya akan dihantar calon bertanding pada September depan.

"Setakat ini, saya belum nampak (calon lain menawarkan diri) lagi, tetapi tidak mustahil jika ada saingan di saat-saat akhir," jelas beliau.

Harrison memaklumkan, pemangku Ketua Bersatu Bahagian itu, Muhammad Zulfadhli Hamzah juga sedia mengundurkan diri.

"Beliau memberi laluan kepada saya untuk bertanding dan dalam masa sama sekiranya menang akan mengambil Muhammad Zulfadhli bersama-sama dan membantu pasukan baru bagi meneruskan perjuangan parti," jelas beliau.

Muhammad Zulfadhli memangku jawatan itu selepas Ketua Bahagiannya, Mohd Shaid Rosli mengumumkan keluar parti pada 8 Ogos 2020.