KLUANG – Perikatan Nasional (PN) dijangka mengumumkan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota dalam tempoh seminggu lebih awal sebelum hari penamaan calon pada 14 September depan.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, PRK DUN Mahkota menyaksikan kelainan apabila nama calon diumum lebih awal berbanding PRK sebelum ini.
Jelasnya, pendekatan terbaharu PN ini membolehkan calon turun padang lebih awal memandangkan DUN Mahkota memiliki lebih 66,000 pengundi.
"Saya difahamkan kepimpinan di peringkat negeri dan bahagian sudah menghantar tiga nama kepada Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin minggu lepas.
"Calon akan diteliti dan dimuktamadkan pucuk pimpinan. Sudah pasti calon yang dipilih merupakan individu yang boleh menang dan diterima rakyat DUN Mahkota," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mendengar taklimat persiapan PRK DUN Mahkota di Bilik Gerakan Utama PN di Kampung Melayu, di sini pada Khamis.
Pengerusi PN Johor pada 14 Ogos lalu berkata, pihaknya menyerahkan senarai tiga nama calon untuk PRK DUN Mahkota kepada pucuk pimpinan parti minggu lalu.
Dalam pada itu Mohamed Azmin berkata, PN tidak gerun berdepan PRK DUN Mahkota walaupun ia merupakan kubu kuat UMNO dan BN sebelum ini.
"Jika dilihat di Dewan Undangan Negeri (DUN) PN cuma ada tiga kerusi daripada 56 DUN. Namun, PN tidak pernah gerun dan akan memastikan kemenangan DUN Mahkota.
"Kita mahu bawakan isu-isu seperti masalah ekonomi dan kos sara hidup yang tinggi. Kita mahu suara lebih kuat dan bawa mandat di DUN Johor. Apa yang penting dapat bawa mandat rakyat Mahkota,”ujarnya.
Daftar Pemilih Pilihan Raya bagi PRK DUN Mahkota adalah sebanyak 66,318 orang dengan 61,397 daripadanya adalah pengundi biasa, 401 anggota polis, 4,510 anggota tentera dan pasangan serta 10 orang pengundi tidak hadir luar negara.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac 2022, Allahyarhamah Sharifah Azizah Syed Zain, yang juga calon mewakili BN memenangi kerusi DUN Mahkota dengan majoriti 5,166 undi.
Daripada sejumlah 66,318 pengundi di DUN Mahkota, 52 peratus daripadanya adalah pengundi muda yang berusia 39 dan ke bawah.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilaporkan menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 September ini manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 September ini.