Veteran polis tuntut elaun tetap RM500 sebulan

Iklan
VPOL tuntut kerajaan memberi ESTK sebanyak RM500 kepada veteran polis yang berpencen atau tidak. Gambar hiasan

SHAH ALAM - Kerajaan dituntut memberi Elaun Tetap Sara Kebajikan (ESTK) secara bulanan pada kadar RM500 sebulan kepada semua veteran polis yang berpencen atau tidak tanpa mengira tahun perkhidmatan mereka.

Presiden Persatuan Kebajikan Veteran Polis Malaysia (VPOL), Datuk Hussin Awang Ngah berkata, tuntutan elaun berkenaan juga meliputi bekas Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia (SSPDRM) sebagai tanda penghargaan kerajaan kepada mereka kerana pernah berkhidmat menjaga keamanan negara.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ETSK merupakan salah satu daripada tujuh permohonan utama yang dicadangkan oleh VPOL kepada kerajaan bagi tujuan memperkasa agenda kebajikan veteran polis sempena Belanjawan 2025.

"VPOL telah menghantar tujuh permohonan utama demi memperkasakan agenda kebajikan veteran polis secara amnya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Iklan
Kenyataan akhbar VPOL

"Permohonan kedua adalah mewujudkan Jabatan Hal Ehwal Veteran Polis di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) atau Jabatan Perdana Menteri (JPM) dengan peruntukan tetap untuk menjaga kebajikan veteran polis.

Dalam pada itu, Hussin turut memaklumkan, persatuan turut menuntut perkhidmatan perubatan percuma kepada semua veteran polis berpencen atau tidak tanpa mengira tahun perkhidmatan di semua hospital dan klinik kerajaan.

Iklan

Tambah beliau, VPOL mencadangkan agar kerajaan menyediakan ‘laluan hijau’ bagi memberi keutamaan kepada veteran polis mendapatkan perkhidmatan perubatan dan temu janji susulan.

"Selain itu (cadangan lain permohonan), penganugerahan pingat kepada semua veteran polis secara automatik tanpa syarat agar mereka rasa dihargai atas jasa dan keringat yang telah mereka curahkan.

"VPOL juga mencadangkan kerajaan mewujudkan sebuah Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) iaitu Universiti Polis yang akan membantu pegawai polis sama ada sedang berkhidmat atau bergelar veteran termasuk keluarga mereka (suami, isteri, anak dan cucu) bagi menyambung pengajian,” ujarnya.

Hussin berkata, VPOL turut menyarankan agar kerajaan mewujudkan sebuah hospital awam khas iaitu ‘Hospital Polis’ untuk memberi khidmat dan rawatan kesihatan secara percuma kepada keluarga polis dan veteran badan beruniform itu.

"VPOL berharap permohonan yang dihantar ini akan diteliti dan dipertimbangkan agar ia dapat diluluskan semasa sesi pembentangan Belanjawan 2025 sebagai menghargai jasa veteran polis secara keseluruhan,” katanya.