Amalan ini selari dengan anjuran agama berdasarkan firman ALLAH SWT yang bermaksud:"Wahai manusia! Sesungguhnya, Kami telah menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling kenal mengenali. Sesungguhnya, yang paling mulia di antara kamu di sisi ALLAH ialah orang yang lebih taqwanya. ALLAH Maha Mengetahui, lagi Maha Teliti.” (Surah al-Hujurat:13)
Bagaimanapun, berziarah itu ada adabnya. Ukhuwah, silaturahim, kelakuan dan akhlak ketika menjadi tetamu perlu dipelihara. Berikut, waktu-waktu yang dilarang dan dibenarkan.
WAKTU DILARANG
Mungkin ramai yang beranggapan ia perkara kecil. Namun, ia merupakan satu penghormatan kepada tuan rumah yang sudi menerima kunjungan ke rumahnya. Bahkan, Rasulullah SAW juga melaksanakannya.
Diriwayatkan daripada A’isyah RA,"Jarang sekali hari di mana Rasulullah SAW mendatangi suatu rumah kecuali baginda mengunjungi rumah Abu Bakar RA pada waktu pagi dan petang.
Dan ketika baginda telah dibolehkan untuk keluar menuju Madinah – hijrah– tidaklah suatu yang menghairankan kami, selain baginda mendatangi kami pada waktu Zuhur. Lalu Abu Bakar RA memberitahu kepada kami dan mengatakan:"Tidaklah Nabi SAW mendatangi kami pada waktu ini kecuali kerana suatu yang penting telah terjadi." (Riwayat Bukhari: 2138)
Apa yang dibahaskan dalam hadis tersebut adalah waktu kedatangan Rasulullah SAW pada waktu siang (tengah hari). Kehairanan Abu bakar RA akan tindakan tersebut menunjukkan waktu tersebut bukanlah waktu berziarah yang menjadi amalan mereka.
Sesungguhnya kebiasaan Rasulullah SAW mengunjungi para sahabat pada waktu pagi dan petang.
Kita dilarang berkunjung pada tiga waktu berikut:
• Sebelum waktu Subuh.
• Waktu tidur siang (tengah hari).
• Selepas solat Isyak.
ALASAN:
Ketiga-tiga waktu ini merupakan masa untuk rehat bagi tuan rumah. Kebiasaannya, tuan rumah kurang bersedia menyambut mana-mana tetamu pada waktu ini kecuali dengan keizinannya. Bagaimanapun, larangan ini tidak terpakai kepada undangan perkahwinan atau majlis-majlis tertentu kerana ia atas jemputan pemilik rumah.